Oleh: ChM Dr Yuhanis Mhd Bakri

KUALA LUMPUR, 9 Oktober 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sekali lagi membuktikan keunggulan dan kepimpinannya dalam bidang inovasi e-pembelajaran dan pedagogi digital apabila berjaya membawa pulang 2 pingat emas, 3 pingat perak, dan 1 pingat gangsa dalam pertandingan International University Carnival on E-Learning (IUCEL) 2026.

Karnival berprestij IUCEL yang dianjurkan secara tahunan merupakan platform utama dalam merevolusikan ekosistem pembelajaran digital negara agar lebih inklusif, mampan, dan berimpak tinggi. Pentas berprestij ini mengintegrasikan inovasi e-pembelajaran, micro-credential, dan teknologi TVET digital secara menyeluruh sekali gus memperkasakan jalinan kolaborasi strategik antara universiti dan industri global. Penganjuran ini turut melonjakkan iltizam IPT tempatan dalam mereka bentuk masa depan pembelajaran yang lebih futuristik, fleksibel, dan berdaya saing

IUCEL 2026 pada tahun ini yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi dengan kerjasama Majlis Ketua-Ketua e-Pembelajaran IPTA Malaysia (MEIPTA) dan Universiti Malaya turut menggabungkan kolokium pengajaran inovatif (UM Mastery in Innovative Teaching (UM MINT) Colloquium menyaksikan penyertaan sengit daripada pelbagai institusi pengajian tinggi awam dan swasta seluruh Malaysia.

Kejayaan cemerlang ini menjadi bukti kukuh keberkesanan penganjuran pertandingan inovasi e-pembelajaran peringkat dalaman universiti, iaitu UPSI Digital Education Carnival (UDEC) 2026. Keseluruhan wakil UPSI yang diketengahkan ke IUCEL 2026 merupakan pemenang UDEC 2026, sekali gus membuktikan penganjuran UDEC berupaya menjadi medan penanda aras dan batu lonjakan berkualiti tinggi dalam menyaring serta menyediakan projek-projek inovasi e-pembelajaran terbaik sebelum bersaing di pentas kebangsaan mahupun antarabangsa.

Kecemerlangan UPSI diwakili oleh pengiktirafan Pingat Emas menerusi inovasi bertajuk KUIZEN: A Lecturer-Built, Agent-Operable Learning Ecosystem Uniting Live Quiz, Play and AI Tutoring hasil ciptaan Dr. Muhamad Hariz Bin Muhamad Adnan daripada Fakulti Komputeran dan Meta Teknologi. Pingat Emas kedua pula diraih oleh Dr. Mohamad Zarkhuan Bin Zainol daripada Fakulti Sains Kemanusiaan bersama ahli kumpulan, Prof Madya Dr Norhisham Bin Muhamad dan Dr Muhammad Nazirul Bin Mohd Sabri, menerusi projek bertajuk MUALLIM-Eksplorasi Solat: Inovasi Digital Pentaksiran Penghayatan Solat.

Sementara itu, pingat perak pula disumbangkan oleh Prof Madya Dr. Hanifah Mahat daripada Fakulti Sains Kemanusiaan bersama ahli kumpulan yang terdiri daripada Nur Naziehah Jiperi, Agnes Tiro, dan Marilyn Benedict menerusi inovasi Keberkesanan Penggunaan GeoSnap sebagai Pembelajaran Interaktif bagi Topik Gerakan Jisim Dalam Mata Pelajaran Geografi Menengah Atas. Pingat perak seterusnya dimenangi oleh Dr. Izan Roshawaty Mustapa daripada Fakulti Sains dan Matematik dan Cik Nursyahindah Binti Shahrul menerusi ARIF: Seeing the Invisible – Transforming Lens Image Formation through Augmented Reality. Manakala Puan Nor Ili Binti Ahmad Tajuddin daripada Fakulti Bahasa dan Komunikasi turut menyumbang pingat perak menerusi inovasi BRÜCKA: Bridging Classroom German and Real-Life A1 Communication Through AI-Assisted Multimodal Storytelling. Melengkapkan pencapaian gemilang universiti, Prof Madya Dr. Annie Gorgey berjaya merangkul pingat gangsa menerusi projek inovasi NuMeLS: Numerical Methods e-Learning Platform with Scilab.

Pencapaian ini diharapkan dapat menjadi pendorong dan inspirasi kepada seluruh warga universiti untuk terus meneroka sempadan baharu dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) menerusi pengintegrasian teknologi terkini demi mendepani cabaran masa depan.