Oleh: ChM Dr Yuhanis Mhd Bakri
KLANG, 30 Okt 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) membuktikan kredibiliti dan martabatnya sebagai institusi mercu tanda latihan perguruan tanah air apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pengajaran (Kelompok Sastera dan Sains Sosial) pada Majlis Anugerah Akademik Negara (AAN) Ke-17 yang berlangsung di Hotel Wyndham Acmar, Klang, malam ini.
Pengiktirafan berprestij anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu menyaksikan ahli akademik UPSI, Prof Madya Dr Saipolbarin Ramli membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 beserta sebuah piala, sekali gus mengesahkan kualiti pedagogi berimpak tinggi yang dibangunkan di universiti berkenaan.
Majlis penganugerahan tertinggi dalam landskap pengajian tinggi negara itu disempurnakan dalam satu upacara penuh gilang-gemilang yang menghimpunkan barisan ilmuwan, penyelidik, pengurusan tertinggi universiti awam dan swasta, serta kepimpinan utama KPT bagi meraikan kecemerlangan kesarjanaan Malaysia.
Kejayaan ini amat signifikan buat UPSI memandangkan Anugerah Pengajaran dalam AAN menilai secara kesarjanaan pengajaran dan pembelajaran, kedalaman inovasi kurikulum, pengajaran berpusatkan pelajar, dan keberkesanan pembentukan sahsiah graduan masa hadapan.
Diperkenalkan sejak tahun 2006, AAN merupakan lambang penghormatan tertinggi negara kepada komuniti akademik yang terbahagi kepada beberapa kategori utama, termasuk Anugerah Tokoh Akademik Negara, Anugerah Pengajaran, Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal, Anugerah Penerbitan Buku, Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk, Anugerah Seni dan Kreativiti dan Anugerah Ahli Akademik Harapan.
Pencapaian edisi ke-17 ini turut mengulangi sejarah kecemerlangan UPSI sedekad lalu pada AAN Ke-9 (2015), apabila Prof. Madya Dr. Raja Nor Safinas Raja Harun memenangi anugerah sama dalam kelompok Sastera dan Sains Sosial, selain kemenangan Dr. Lee Ai Choo bagi kelompok Sastera Gunaan dan Sains Sosial Gunaan pada AAN 2010. Selain itu, UPSI turut dianugerahkan Anugerah Seni dan Kreativiti (Kategori Seni Visual / Seni Bina / Seni Kraf) pada tahun 2015 melalui Prof. Madya Dr. Mohd Fauzi bin Sedon @ M. Dom.



Dalam kenyataan rasmi pengurusan tertinggi universiti, kemenangan ini menyuntik iltizam baharu kepada seluruh warga pendidik UPSI untuk terus mempelopori pendekatan pengajaran inovatif dan lestari, seiring dengan cabaran kecerdasan buatan (AI) dan kemajuan pedagogi abad ke-21. Pencapaian ini membuktikan bahawa penyelidikan akademik di UPSI diterjemahkan secara langsung ke dalam bilik kuliah demi melahirkan graduan pendidik yang kompeten, berdaya saing, dan berjiwa mulia.
Kejayaan pada AAN Ke-17 bukan sekadar satu kemenangan peribadi mahupun institusi, sebaliknya menjadi manifestasi keteguhan amanah UPSI sejak penubuhannya pada 1922 untuk kekal sebagai tiang seri kecemerlangan pendidikan yang mendidik anak bangsa di persada global.
