Oleh: Amir Farhan Md Radzi
Tanjung Malim, 26 Mei 2026 – Majlis Mahasiswa Kolej Awang Had Salleh (MMKAHS), Universiti Pendidikan Sultan Idris dengan kerjasama Pusat Islam UPSI telah menganjurkan Kursus Pengurusan Jenazah Lelaki dan Wanita yang mana dinamakan sebagai Program Nur Sirat Insani (NUSI) 3.0: Perjalanan Menuju Alam Abadi, pada 23 Mei 2026 di Masjid Al-Mursyidin, Kampus Sultan Azlan Shah.
Program yang berteraskan kerohanian itu dikendalikan oleh Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah MMKAHS dengan tujuan untuk memberi pendedahan asas kepada pelajar berkaitan salah satu aspek penting Fardu Kifayah iaitu pengurusan jenazah, di samping menambah nilai dalam diri mahasiswa tentang tanggungjawab kolektif umat Islam dalam melaksanakan amanah terakhir terhadap insan yang telah kembali ke rahmatullah.



Kursus bermula seawal jam 8.00 pagi dengan sesi pendaftaran peserta sebelum diteruskan dengan majlis perasmian pembukaan yang disempurnakan oleh Pengetua Kolej Awang Had Salleh (KAHS), Dr. Mardiana binti Ismail. Dalam majlis tersebut, Pengetua KAHS turut menyampaikan cenderahati kepada penceramah jemputan dan Pusat Islam serta merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa pelaksana atas komitmen dalam menjayakan program berkenaan. Turut hadir ialah Ustaz Mohd Zin Azhari sebagai wakil Pusat Islam UPSI selaku rakan kolaborasi program.
Slot pertama yang memfokuskan kepada teori pengurusan jenazah telah disampaikan oleh penceramah jemputan, Ustaz Yazuli Rosli pada jam 9.20 pagi. Peserta diberikan penerangan berkaitan tatacara pengurusan jenazah mengikut syariat Islam serta kepentingan penghayatan ilmu fardu kifayah dalam kehidupan masyarakat.


Program diteruskan dengan slot amali pada jam 11.45 pagi yang dijalankan secara berasingan mengikut jantina. Sesi peserta lelaki dikendalikan oleh Ustaz Yazuli Rosli manakala peserta perempuan dibimbing oleh Ustazah Saniah Che Man.
Tambahan lagi, Pengarah program iaitu Amir Farhan bin Md Radzi, dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung. Beliau turut berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memperkukuh kefahaman mahasiswa terhadap ilmu pengurusan jenazah yang semakin kurang diberi perhatian oleh generasi muda.
Penganjuran Kursus Pengurusan Jenazah ini diharapkan dapat melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja memahami kaedah pengurusan jenazah dari sudut teori dan praktikal, malah mampu menghayati tanggungjawab fardu kifayah dalam kehidupan bermasyarakat. Program ini juga menjadi medium penting dalam memberi kesedaran awal kepada mahasiswa mengenai kepentingan ilmu pengurusan jenazah serta menjadikannya sebagai satu amanah bersama dalam komuniti Islam.


Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai objektifnya sebagai sebuah platform pembangunan sahsiah dan kerohanian mahasiswa, di samping mengukuhkan kefahaman serta kemahiran peserta dalam pengurusan jenazah. Ia juga turut mengeratkan hubungan silaturahim antara mahasiswa dan pihak penganjur melalui pelaksanaan program berteraskan nilai ukhuwah dan tanggungjawab sosial.
