Barisan Fasilitator KeSUA UPSIBarisan Fasilitator KeSUA UPSI

Oleh: Muhammad Aidil Putra

GEMAS, 21 Jun – Seramai 70 orang pelajar daripada pelbagai badan kepimpinan di SMK Palong 7 menyertai Program Jelajah Ulul Albab X-Plorasi Karisma yang berlangsung dari 19 hingga 21 Jun 2026. Program anjuran Pusat Ulul Albab dengan kerjasama Kelab Sahabat Ulul Albab (KeSUA), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu bertujuan memperkasa kemahiran kepimpinan, komunikasi dan kerja berpasukan dalam kalangan pelajar.

Aktiviti Ice Breaking bersama Ajk Aktiviti
Slot Tak Penat Ke Jadi Biasa
 
Pic 4: Membetulkan

Peserta terdiri daripada Pengawas Sekolah, Pembimbing Rakan Sebaya (PRS), Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT), Briged Siber dan Pengawas Pusat Sumber. Program tersebut dikendalikan oleh 17 orang fasilitator daripada KeSUA yang berkongsi pelbagai modul berteraskan tiga elemen Ulul Albab, iaitu Quranik, Ensiklopedik dan Ijtihadik.

Selain membentuk kepimpinan pelajar, program ini turut menjadi platform kepada mahasiswa UPSI untuk memperoleh pengalaman mengendalikan pelajar sekolah sebagai persediaan menghadapi alam perguruan. Melalui penglibatan secara langsung sebagai fasilitator, mereka didedahkan kepada pengurusan program, pengendalian aktiviti dan kepelbagaian ragam pelajar dalam situasi sebenar.

Aktiviti komunikasi non-verbal dalam slot Speak Smart
Peserta mempersembahkan persembahan di Malam Kebudayaan
 
Guru pembimbing ketika selesai slot Malam Kebudayaan
 

Program dimulakan dengan modul Ice Breaking yang bertujuan membina hubungan antara peserta melalui pelbagai aktiviti interaktif. Modul ini berjaya mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih mesra serta mengukuhkan semangat kerjasama dalam kalangan peserta.

Slot kedua, “Tak Penat Ke Jadi Biasa?”, dikendalikan oleh Naib Yang Dipertua KeSUA, Saudara Muhammad Nur Hakim Lahasi. Modul berbentuk motivasi ini memberi penekanan terhadap pembentukan ciri-ciri kepimpinan, keyakinan diri dan kerjasama berpasukan. Peserta didedahkan kepada perbezaan antara seorang bos dengan seorang pemimpin serta nilai-nilai kepimpinan seperti keberanian, kepekaan, kemahiran mendengar dan komunikasi yang berkesan. Aktiviti berkumpulan yang dijalankan turut menguji kebolehan peserta menyelesaikan tugasan secara kolaboratif di samping meningkatkan keyakinan diri.

Slot Kenali Diri bersama Dr. Sakinah Salleh
Cikgu Zulmajdi bin Ismail memberikan ucapan semasa majlis penutupan
Sesi penyampaian cenderahati kepada Fasilitator Terbaik Perempuan

Pada hari kedua, peserta mengikuti modul ProMaj: Protokol dan Etiket yang disampaikan oleh ahli KeSUA, Saudari Annisa Sajidah Md. Din. Modul ini memberi pendedahan kepada peserta mengenai pengurusan majlis rasmi dan tidak rasmi, termasuk penyusunan protokol, kedudukan tetamu kehormat, pengacaraan majlis serta tugas pengiring. Modul ini dilaksanakan atas permintaan pihak sekolah bagi mempersiapkan pelajar untuk mengendalikan majlis-majlis rasmi sekolah secara lebih profesional.

Peserta kemudiannya mengikuti modul Speak Smart yang dikendalikan oleh Saudari Aishah Amirah Al’Akthar, Saudara Muhammad Shahir Muhammad Sahfuddin  dan Muhammad Aidil Putra Afendi. Modul ini memberi fokus kepada pembangunan kemahiran komunikasi sebagai asas penting dalam sesebuah organisasi. Peserta didedahkan kepada jenis dan proses komunikasi, teknik pembentangan yang berkesan, penggunaan bahasa badan, ekspresi wajah semasa berucap serta kemahiran mendengar secara aktif dan pengurusan konflik.

Pada sebelah malam, peserta menyertai Malam Kebudayaan yang menampilkan persembahan lakonan, tarian dan nyanyian mengikut tema yang telah ditetapkan. Aktiviti ini bertujuan mengasah kreativiti, meningkatkan keyakinan diri serta menggalakkan peserta berani tampil di hadapan khalayak.

Hari terakhir program diteruskan dengan slot pembangunan kendiri yang disampaikan oleh Pengarah Pusat Ulul Albab UPSI, Dr. Sakinah binti Salleh. Beliau membimbing peserta mengenali kekuatan dan kelemahan diri serta merancang langkah penambahbaikan secara lebih sistematik. Peserta turut didedahkan kepada teknik pembinaan identiti diri yang mampu menyerlahkan potensi dan keunikan masing-masing melalui pendekatan refleksi kendiri.

Dalam majlis penutupan, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMK Palong 7, Encik Mohd. Zulmajdi bin Ismail, merakamkan penghargaan kepada Pusat Ulul Albab atas kesudian menjayakan program kepimpinan tersebut. Beliau berkata, program seumpama ini mampu meningkatkan potensi pelajar sebagai pemimpin, menggalakkan pemikiran yang lebih kreatif dan kritis serta memberi inspirasi kepada mereka untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi melalui pendedahan bersama mahasiswa UPSI.

Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Pengarah Pusat Ulul Albab, Dr. Sakinah binti Salleh. Beliau merakamkan penghargaan kepada pihak SMK Palong 7 atas kepercayaan yang diberikan kepada Pusat Ulul Albab untuk mengendalikan program ini buat kali ketiga. Menurut beliau, program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada peserta, malah menjadi medan latihan yang amat bernilai kepada mahasiswa UPSI dalam mempersiapkan diri sebagai bakal pendidik.

Majlis penutupan bersama pihak Sekolah Men. Palong 7

Sementara itu, Pengarah Program, Muhammad Aidil Putra Afendi, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada guru pembimbing badan kepimpinan pelajar SMK Palong 7, Mohamad Shukran Abdul Halim, atas komitmen dan kerjasama yang diberikan sepanjang program berlangsung. Beliau berkata, sokongan yang diberikan, khususnya dalam mengurus kebajikan peserta dan memastikan kelancaran perjalanan program, amat dihargai oleh semua pihak.

Beliau berharap agar Program Jelajah Ulul Albab X-Plorasi Karisma dapat diteruskan dan diperluaskan ke lebih banyak sekolah pada masa hadapan agar lebih ramai pelajar dapat menikmati manfaat program dalam melahirkan generasi pemimpin yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing.