Oleh: Siti Nur Hidayati Syed Aziz
Tanjong Malim, 13 Jun 2026 – Kelab Sahabat Ulul Albab (KeSUA), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Exco Kerohanian telah menganjurkan Program Soutul Quran yang berlangsung di Bilik Seminar Pusat Pelajar, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI. Program berteraskan penghayatan Al-Quran ini berjaya menghimpunkan mahasiswa dan mahasiswi daripada UPSI dan USIM dalam satu platform yang mengangkat keindahan kalam Allah melalui pertandingan Tilawah dan Hafazan Al-Quran.
Penganjuran program ini bertujuan menyemai serta memperkukuh kecintaan terhadap Al-Quran dalam kalangan mahasiswa, di samping menyediakan ruang kepada peserta untuk menonjolkan bakat dan potensi dalam bidang tilawah dan hafazan. Pertandingan telah dibahagikan kepada empat kategori utama, iaitu Tilawah Lelaki, Tilawah Perempuan, Hafazan Lelaki dan Hafazan Perempuan.
Sepanjang pertandingan berlangsung, para peserta memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dengan penuh tartil, penghayatan dan kemerduan suara yang memukau. Pada masa yang sama, peserta hafazan turut mempamerkan ketepatan ingatan serta penguasaan yang cemerlang terhadap ayat-ayat Al-Quran. Persembahan para peserta dinilai oleh barisan juri berpengalaman yang mempunyai kepakaran dalam bidang tilawah, tajwid dan hafazan Al-Quran.
Acara kemuncak program diserikan dengan pengumuman para pemenang yang telah menunjukkan kecemerlangan luar biasa dalam bidang tilawah dan hafazan Al-Quran. Ahmad Adam Haikal bin Ahmad Mukhadzir dari USIM dinobatkan sebagai Johan Kategori Tilawah Lelaki, manakala Amirah A’isya binti Mohd Amir Sharifuddin dari USIM berjaya merangkul Johan Kategori Tilawah Perempuan. Bagi Kategori Hafazan, Wan Nur Najwa Izzati binti Mohd Nawi dari UPSI muncul sebagai johan setelah memperlihatkan penguasaan hafazan yang mantap dan meyakinkan. Pencapaian ini membuktikan bahawa generasi mahasiswa hari ini bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah turut unggul dalam penguasaan ilmu dan penghayatan Al-Quran.
Program ini bukan sahaja menjadi medan persaingan yang sihat, malah berfungsi sebagai wahana pembangunan sahsiah dan pengukuhan ukhuwah sesama mahasiswa yang berkongsi minat serta kecenderungan terhadap Al-Quran. Melalui sesi ulasan dan penilaian, para juri turut memberikan pandangan serta bimbingan yang konstruktif bagi membantu peserta meningkatkan mutu bacaan dan hafazan mereka pada masa hadapan.



Majlis diteruskan dengan acara penutupan yang diserikan dengan ucapan penghargaan daripada pihak penganjur, sesi rumusan oleh para juri serta penyampaian hadiah kepada para pemenang bagi setiap kategori. Trofi dan cenderamata telah disampaikan sebagai simbol penghargaan terhadap komitmen, usaha dan kecemerlangan yang ditunjukkan oleh para peserta sepanjang program berlangsung.
Penganjuran Soutul Quran telah memberikan impak yang signifikan kepada peserta mahupun jawatankuasa pelaksana. Selain berjaya mencungkil bakat dan potensi mahasiswa dalam bidang Al-Quran, program ini turut menyuntik motivasi untuk terus mendalami, menghayati serta menjadikan Al-Quran sebagai panduan utama dalam kehidupan seharian.
Secara keseluruhannya, Program Soutul Quran telah mencapai objektif yang disasarkan dengan jayanya serta menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada para peserta. Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan dan
diperkasakan pada masa akan datang sebagai usaha berterusan dalam melahirkan generasi mahasiswa yang holistik, berilmu, berakhlak mulia serta berpegang teguh kepada nilai-nilai Al-Quran dalam mendepani cabaran kehidupan.

