Simpang Renggam, Johor: Prihatin terhadap kebajikan pelajar asnaf Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Pusat Zakat, Endowmen, Wakaf, Khairat dan Sedekah (WEZAS) UPSI telah mengadakan ziarah kebajikan ke kediaman Muhammad Danish Ramadhan bin Asran di Kampung Isnin Maarof, Simpang Renggam, Johor bagi meninjau sendiri keadaan sosioekonomi keluarga pelajar tersebut.
Ziarah yang diketuai oleh Timbalan Pendaftar Kanan WEZAS bersama pegawai WEZAS itu bertujuan memastikan bantuan yang disalurkan benar-benar memenuhi keperluan pelajar serta meringankan beban kewangan keluarga sepanjang tempoh pengajian beliau di UPSI.
Muhammad Danish Ramadhan merupakan pelajar Semester 4 Diploma Pengajian Turath Islami yang kini menerima Dermasiswa WEZAS Kategori B, meliputi bantuan Yuran Pengajian dan Yuran Penginapan sepanjang pengajian beliau di universiti.
Hasil ziarah mendapati Danish dibesarkan oleh ibunya, Puan Hellye Mallyiza binti Abu Bakar, (46 Tahun) seorang ibu tunggal yang menyara dua orang anak. Beliau bekerja sebagai pembantu Tadika KEMAS dengan pendapatan sekitar RM800 sebulan di samping menerima bantuan Baitulmal Johor sebanyak RM300 sebulan. Keluarga tersebut turut menetap di rumah pusaka milik nenek dan tidak memiliki kediaman sendiri.
Menurut Puan Hellye Mallyiza, anak sulungnya itu tidak pernah banyak mengeluh mengenai kesempitan hidup yang dihadapi kerana tidak mahu membebankan keluarga serta bimbang menjejaskan persekolahan adiknya yang kini berada di Tingkatan Lima.
Beliau turut berkongsi bahawa ada ketikanya Danish hanya mempunyai wang saku yang sangat terhad untuk menampung keperluan harian di kampus, namun beliau akan sedaya upaya memastikan anaknya mempunyai perbelanjaan bagi mendapatkan makanan walaupun keadaan kewangan keluarga amat mencabar.
Ziarah kebajikan seperti ini merupakan antara pendekatan proaktif WEZAS dalam mengenal pasti keperluan sebenar pelajar asnaf selain memastikan setiap bantuan zakat disalurkan secara bersasar, telus dan memberi impak langsung kepada penerima.
WEZAS terus komited memperkasakan agenda kebajikan mahasiswa melalui pelbagai bentuk bantuan termasuk dermasiswa, bantuan sara hidup, bantuan makanan dan bantuan kecemasan agar tiada pelajar tercicir daripada melanjutkan pengajian hanya kerana kekangan kewangan. Pendekatan turun padang ini turut mencerminkan iltizam WEZAS untuk sentiasa mendampingi pelajar dan keluarga mereka dalam memastikan kesejahteraan serta kelangsungan pendidikan dapat dipertahankan.
