TANJONG MALIM, 30 Julai – Kejayaan Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) membangunkan ekosistem pengurusan wakaf dan filantropi universiti secara menyeluruh terus mendapat pengiktirafan apabila menerima kunjungan hormat delegasi daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), semalam.

Sesi yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 1.00 tengah hari di Bilik Mesyuarat BC2-7, Bangunan Canselori UPSI itu menjadi platform perkongsian amalan terbaik WEZAS dalam memperkukuh tadbir urus wakaf, endowmen, zakat, khairat dan sedekah, selain memperluaskan jaringan kerjasama strategik antara institusi pengajian tinggi awam.

Delegasi UMS diketuai Pengarah Pusat Islam, Dr. Sarip Adul, manakala UMK diwakili Timbalan Pengarah Bahagian Pendanaan Pusat Kewangan Lestari, Dr. Mohd Afifie Mohd Alwi, bersama pegawai kanan kedua-dua universiti.

Sepanjang sesi tersebut, WEZAS berkongsi pengalaman membangunkan model pengurusan dana filantropi universiti yang merangkumi aspek kutipan dana wakaf, endowmen dan zakat, tadbir urus dana, mekanisme agihan manfaat, selain strategi memperkukuh hubungan dengan pelbagai agensi kerajaan, badan korporat, industri serta penyumbang individu bagi memastikan kelestarian sumber kewangan universiti.

Turut menjadi fokus utama perkongsian ialah pelaksanaan Projek Wakaf Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (i-Furqan) yang kini sedang giat dibangunkan sebagai antara projek wakaf pendidikan berimpak tinggi UPSI. Delegasi diberi penerangan mengenai perjalanan projek bermula daripada perancangan awal, proses kelulusan, pembangunan jaringan strategik bersama pelbagai agensi, sehingga perkembangan semasa pembinaan yang sedang dilaksanakan.

Selain itu, WEZAS turut berkongsi pengalaman memperoleh pelbagai kelulusan berkaitan pengurusan wakaf dan endowmen termasuk pelantikan sebagai mutawalli, pengurusan zakat institusi serta kejayaan memperoleh pengecualian cukai bagi wakaf dan endowmen yang menjadi antara faktor penting dalam meningkatkan keyakinan penyumbang terhadap institusi.

Dalam perkembangan sama, bermula jam 12.30 tengah hari, WEZAS turut menerima kunjungan delegasi daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) yang hadir bagi meninjau sendiri perkembangan fizikal Projek Wakaf i-Furqan serta mendapatkan penerangan mengenai model pelaksanaan projek wakaf pendidikan yang dibangunkan oleh UPSI.

Lawatan berkenaan memperlihatkan peningkatan keyakinan institusi pengajian tinggi terhadap kepakaran WEZAS sebagai pusat rujukan dalam pembangunan ekosistem wakaf universiti yang mampan, sekali gus membuka ruang kepada kerjasama strategik yang lebih luas dalam memperkasakan agenda filantropi, pendidikan dan pembangunan ummah di peringkat nasional.