Oleh: Nadia Shahira Amiruddin & Naziroh Ramli

Tanjong Malim, 19 Ogos 2026 – Seramai 33 orang kanak-kanak Tadika Bitara, National Child Development Research Centre (NCDRC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang berusia enam tahun telah mencuri perhatian menerusi penyertaan dalam Perarakan Syukur Merdeka Sempena Perhimpunan Bulanan Edisi Ogos 2026 yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI, hari ini.

Program yang berlangsung pada jam 8.00 pagi itu mengangkat tema “Syukur Merdeka: Merdeka Disemai, Sunnah Dihayati”, bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan Maulidur Rasul. Program turut diserikan dengan pertandingan kontinjen perarakan Maulidur Rasul mengikut portfolio, persembahan nasyid oleh KESAKTI serta ceramah Maulidur Rasul yang disampaikan oleh Ustaz Ahmad Elyas bin Ismail.

Penyertaan kanak-kanak Tadika Bitara dalam perarakan tersebut bukan sahaja menyerlahkan semangat patriotisme sejak usia awal, malah memberikan pengalaman pembelajaran yang bermakna melalui penglibatan secara langsung dalam program rasmi universiti. Seramai empat orang guru turut mengiringi kontinjen kanak-kanak, iaitu Puan Nor Sharizad, Puan Naziroh, Cik Hadhinah dan Puan Noora.

Perarakan kontinjen TADIKA Bitara NCDRC yang diketuai oleh Encik Mohamad Zakuan selaku Ketua Kontinjen turut diserikan dengan penyertaan pasukan pentadbiran, iaitu Dr. Nadia Shahira selaku Timbalan Pengarah Akademik dan Perkembangan Kanak-kanak NCDRC, serta Puan Norazlina selaku Pengurus TASKA dan TADIKA NCDRC.

Penglibatan kanak-kanak dalam perarakan ini dilihat sebagai satu pendekatan pendidikan yang menghubungkan pengalaman sebenar dengan pembentukan nilai dan karakter. Melalui pengalaman sebegini, kanak-kanak berpeluang memahami konsep kemerdekaan, kecintaan terhadap negara, nilai kebersamaan serta penghayatan terhadap akhlak dan teladan Rasulullah SAW dalam konteks yang dekat dengan kehidupan mereka.

Menurut Pengarah NCDRC, Prof. Dr. Mazlina Che Mustafa, pengalaman menyertai perarakan sempena Hari Kebangsaan dan Maulidur Rasul merupakan satu pengalaman yang bermakna dalam menyemai asas cinta akan negara dan cinta kepada Rasulullah SAW dalam jiwa kanak-kanak NCDRC.

“Bagi kanak-kanak, jiwa merdeka diterjemahkan melalui kebebasan untuk bermain, meneroka, bersuara, berasa gembira dan memupuk sifat ingin tahu dalam persekitaran yang selamat, harmoni serta penuh kasih sayang. Pada masa yang sama, cinta kepada Rasul diterapkan melalui amalan harian seperti mengucapkan salam, berselawat, berbuat baik, menghormati orang lain dan menunjukkan kasih sayang.”

Beliau turut menegaskan bahawa pengalaman pembelajaran yang melibatkan kanak-kanak secara langsung seperti ini penting dalam membentuk kefahaman nilai yang tidak hanya dipelajari secara teori, tetapi dihayati melalui pengalaman dan amalan.

“Semoga pengalaman seperti ini menjadi asas dalam membentuk generasi yang merdeka pemikirannya, luhur akhlaknya, cintakan negara dan meneladani Rasulullah SAW,” ujar beliau.

Penyertaan 33 orang kanak-kanak Tadika Bitara ini turut memperlihatkan komitmen NCDRC dalam menyediakan pengalaman pendidikan yang holistik dengan mengintegrasikan aspek perkembangan kanak-kanak, nilai murni, patriotisme, akhlak dan pembelajaran berasaskan pengalaman.

Lebih daripada sekadar sebuah perarakan, penglibatan ini menjadi ruang untuk kanak-kanak merasai, meneroka dan menghayati makna kemerdekaan serta kecintaan kepada Rasulullah SAW dalam suasana yang menyeronokkan dan penuh kebersamaan.

Sesungguhnya, kemerdekaan yang disemai sejak kecil dan sunnah yang dihayati dalam kehidupan seharian merupakan asas penting dalam membentuk generasi masa hadapan yang berjiwa merdeka, berakhlak mulia, cintakan negara dan menjadikan Rasulullah SAW sebagai teladan.