Webinar Antarabangsa Ekonomi Dan Keadilan Sosial Dalam Perspektif IslamWebinar Antarabangsa Ekonomi Dan Keadilan Sosial Dalam Perspektif Islam

Oleh: Dr Wan Nurul Izza Wan Husin dan Nor Hayati Aziz

TANJONG MALIM– Pusat Ulul Albab (PUA), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Fakultas Ushuluddin dan Pemikiran Islam, Universiti Islam Negeri (UIN) Raden Fatah Palembang, Indonesia menganjurkan Webinar Antarabangsa bertemakan “Ekonomi dan Keadilan Sosial dalam Perspektif Islam” sebagai wadah perkongsian ilmu dan pemikiran akademik dalam membincangkan isu ekonomi serta keadilan sosial berteraskan prinsip Islam.

Program berkenaan dirasmikan oleh Pengarah Pusat Ulul Albab UPSI, Dr. Sakinah Salleh, yang menzahirkan komitmen berterusan universiti dalam memperkasa program keilmuan yang mampu memberi manfaat kepada warga akademik, mahasiswa dan masyarakat secara lebih luas.

Webinar tersebut menampilkan seramai enam orang pembentang yang terdiri daripada ahli akademik UPSI dan UIN Raden Fatah Palembang. Para pembentang berkongsi kepakaran dan pandangan masing-masing berkaitan isu ekonomi dan keadilan sosial berdasarkan perspektif Islam, sekali gus membuka ruang perbincangan ilmiah mengenai peranan nilai dan prinsip Islam dalam membentuk sistem ekonomi yang adil serta kesejahteraan masyarakat.

Turut hadir ialah Dr. Nur Fitriyana, Wakil Dekan 1, Fakultas Ushuluddin dan Pemikiran Islam, UIN Raden Fatah Palembang, bersama barisan akademik dan penceramah jemputan daripada kedua-dua institusi. Kehadiran para akademik tersebut menyerlahkan komitmen bersama dalam memperluas jaringan kerjasama pendidikan tinggi antara Malaysia dan Indonesia.

Sepanjang webinar, peserta berpeluang mengikuti sesi pembentangan serta perbincangan interaktif secara dalam talian yang mengupas pelbagai isu berkaitan ekonomi dan keadilan sosial dalam kerangka pemikiran Islam. Program turut mendapat sambutan yang menggalakkan daripada mahasiswa, tenaga pengajar dan warga akademik daripada pelbagai institusi.

Dr Sakinah Salleh, merasmikan Webinar
Dr. Nur Fitriyana, M.Ag. adalah Wakil Dekan I bidang Akademik dan Kelembagaan di Fakultas Ushuluddin dan Pemikiran Islam (FUSHPI), Universitas Islam Negeri (UIN) Raden Fatah Palembang.
Universitas Islam Negeri (UIN) Raden Fatah Palembang.

Penganjuran webinar antarabangsa ini bukan sahaja menjadi platform pertukaran ilmu dan pengalaman, malah turut memperkukuh hubungan akademik antara Pusat Ulul Albab UPSI dengan Fakultas Ushuluddin dan Pemikiran Islam UIN Raden Fatah Palembang.

Kerjasama seumpama ini diharapkan dapat diteruskan dan diperluas pada masa akan datang melalui pelbagai inisiatif akademik, penyelidikan, penerbitan serta program mobiliti dan jaringan antarabangsa, selaras dengan usaha memperkukuh hubungan pendidikan tinggi serantau dan memperkasa peranan institusi pengajian tinggi dalam membentuk masyarakat yang berilmu, berintegriti dan berkeadilan.