Dr. Sakinah binti Salleh, Pengarah Pusat Ulul Albab UPSI bersama Prof. Madya Dr. Muhammad Sakree Manyunu, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik Universiti Fatoni serta barisan pengurusan dan peserta pada Majlis Perasmian Program Sangkutan Outbound Ulul Albab UPSI Peringkat 3 Dr. Sakinah binti Salleh, Pengarah Pusat Ulul Albab UPSI bersama Prof. Madya Dr. Muhammad Sakree Manyunu, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik Universiti Fatoni serta barisan pengurusan dan peserta pada Majlis Perasmian Program Sangkutan Outbound Ulul Albab UPSI Peringkat 3

Oleh: Nur Syaidatul Hidayah Abdullah

PATTANI, THAILAND, 15 SEPTEMBER 2026 — Program Sangkutan Outbound Ulul Albab Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Peringkat 3 Tahun 2026 bersama Universiti Fatoni dan Yayasan As-Salam, Thailand terus memperkukuh pengalaman pembelajaran peserta menerusi pengisian yang mengintegrasikan aspek akademik, bahasa, warisan Islam, penghayatan alam dan khidmat komuniti di Pattani, Thailand.

Pengisian program pada hari tersebut bukan sahaja memberikan pendedahan kepada peserta terhadap persekitaran akademik dan budaya antarabangsa, malah menjadi wadah pembentukan sahsiah melalui pengalaman berinteraksi dengan masyarakat, menelusuri warisan sejarah serta menghayati keindahan alam ciptaan Allah SWT.

Pengisian pada sebelah pagi dimulakan dengan Majlis Perasmian Program Sangkutan Outbound Ulul Albab UPSI Peringkat 3 Tahun 2026 yang disempurnakan menerusi ucapan Pengarah Pusat Ulul Albab UPSI, Dr. Sakinah Salleh, dalam ucapannya, Dr. Sakinah menekankan bahawa program mobiliti antarabangsa seperti ini bukan sekadar memberikan pendedahan kepada peserta terhadap suasana pembelajaran di luar negara, malah menjadi ruang untuk memperluas perspektif, membina keyakinan diri serta menghayati nilai ilmu, budaya dan kemanusiaan.

Menurut beliau, pengalaman berinteraksi dengan masyarakat dan persekitaran baharu perlu dimanfaatkan oleh peserta sebagai sebahagian daripada proses pembentukan insan yang bukan sahaja berilmu, tetapi turut mempunyai kepekaan terhadap masyarakat, alam sekitar dan kepelbagaian budaya.

Majlis seterusnya disempurnakan dengan ucapan perasmian oleh Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik Universiti Fatoni, Prof. Madya Dr. Muhammad Sakree Manyunu.

Turut hadir Dekan Fakulti Pendidikan, Universiti Fatoni, Prof. Madya Dr. Ahmad Yisunthorng dan Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar, Fakulti Pengajian Islam dan Sains Kemanusiaan, Universiti Fatoni, Dr. Yahya Nik Wee.

Persembahan nasyid dari kumpulan nasyid Universiti Fatoni
Para peserta menelusuri warisan sejarah Islam menerusi kunjungan ke Masjid Kerisik (Krue Se Mosque), Pattani.
Para peserta menyusuri kawasan hutan bakau di Bangpu, Pattani menerusi aktiviti Tadabbur Alam sambil menghayati keindahan ekosistem semula jadi.
 
 

Sesi pertukaran cenderamata antara Pusat Ulul Albab UPSI dan Universiti Fatoni turut diadakan sebagai tanda penghargaan serta simbolik hubungan kerjasama yang terjalin antara kedua-dua institusi.

Suasana majlis turut diserikan dengan persembahan puisi dan nasyid oleh pelajar Universiti Fatoni, sekali gus memberikan ruang kepada peserta untuk menghayati elemen seni dan budaya masyarakat setempat.

Selesai majlis perasmian, para peserta mengikuti Kelas Bahasa Thai yang dikendalikan oleh lapan orang fasilitator daripada Fakulti Pendidikan, Jabatan Bahasa Melayu dan Teknologi Pendidikan, Universiti Fatoni.

Sesi tersebut memberikan pendedahan asas Bahasa Thai kepada peserta dalam suasana pembelajaran yang interaktif dan santai. Interaksi secara langsung bersama fasilitator serta pelajar Universiti Fatoni turut membuka ruang kepada peserta untuk memahami kepelbagaian bahasa dan budaya masyarakat setempat.

Penguasaan bahasa dalam konteks mobiliti antarabangsa bukan sekadar kemahiran komunikasi, malah menjadi salah satu medium yang dapat merapatkan jurang budaya serta membina kefahaman antara masyarakat yang berbeza latar.

Pengisian seterusnya membawa para peserta mengunjungi Masjid Kerisik (Krue Se Mosque), salah satu tapak warisan bersejarah yang terletak di Pattani.

Masjid yang dipercayai dibina sekitar abad ke-16 itu memperlihatkan ciri seni bina yang dipengaruhi unsur Timur Tengah dan Parsi, sekali gus memberikan gambaran terhadap perkembangan sejarah dan tradisi Islam di wilayah Patani.

Kunjungan tersebut memberikan pengalaman pembelajaran secara langsung kepada peserta dalam memahami sejarah perkembangan Islam di selatan Thailand, selain menelusuri hubungan antara warisan seni bina, perkembangan masyarakat dan pembentukan identiti Islam setempat.

Pengalaman tersebut turut memperlihatkan bahawa pembelajaran melalui mobiliti antarabangsa tidak terhad kepada ruang formal, sebaliknya dapat diperkaya melalui pemerhatian, penerokaan warisan dan interaksi dengan persekitaran sebenar.

Pada sebelah petang, para peserta meneruskan pengisian di Bangpu, Pattani menerusi aktiviti Tadabbur Alam.

Peserta berpeluang menaiki bot menyusuri kawasan hutan bakau yang subur sambil menghayati keindahan ekosistem semula jadi di kawasan berkenaan.

Aktiviti tersebut memberikan ruang kepada peserta untuk merenungi kebesaran ciptaan Allah SWT serta meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan memelihara alam sekitar sebagai satu amanah yang perlu dipertanggungjawabkan.

Dalam konteks pendidikan holistik, pengalaman berinteraksi dengan alam turut membuka ruang kepada peserta untuk menghubungkan pengetahuan dengan penghayatan dan tindakan. Alam bukan sekadar menjadi latar kepada aktiviti program, malah menjadi ruang pembelajaran yang menyemai kesedaran tentang tanggungjawab manusia terhadap kelestarian alam sekitar.

Rangkaian pengisian hari tersebut kemudiannya diteruskan dengan aktiviti penyampaian bakul makanan kepada golongan asnaf di sekitar Pattani yang telah disumbangkan oleh Pusat Transformasi komuniti Universiti (UCTC UPSI).

Sebanyak 20 buah rumah telah dikunjungi bagi menyampaikan barangan keperluan asas kepada masyarakat yang memerlukan.

Aktiviti khidmat komuniti tersebut memberikan peluang kepada peserta untuk berinteraksi secara lebih dekat dengan masyarakat setempat serta memahami realiti kehidupan komuniti yang diziarahi.

Lebih daripada penyampaian bantuan, penglibatan peserta dalam aktiviti tersebut menjadi medium pembentukan nilai kemanusiaan, khususnya keprihatinan, empati, kesukarelawanan dan ihsan.

Pengalaman turun padang ini turut memberi dimensi praktikal kepada proses pembelajaran apabila peserta berpeluang menerapkan nilai yang dipelajari melalui tindakan dan sumbangan secara langsung kepada masyarakat.

Keseluruhan pengisian di Pattani memperlihatkan bahawa mobiliti antarabangsa mempunyai peranan yang lebih luas daripada sekadar pertukaran ilmu dan budaya.

Pengalaman mengikuti pembelajaran bahasa, menelusuri warisan Islam, menghayati alam semula jadi serta menyantuni masyarakat setempat membentuk pengalaman pendidikan yang bersifat holistik.

Pendekatan tersebut bertepatan dengan aspirasi Pusat Ulul Albab UPSI yang menekankan keseimbangan antara penguasaan ilmu akademik, kemahiran insaniah dan pembentukan sahsiah. Pusat Ulul Albab UPSI turut meletakkan pembangunan modal insan berteraskan al-Quran dan sains sebagai antara aspirasinya.

Melalui pengalaman di Pattani, peserta bukan sahaja berpeluang memperluas cakrawala ilmu dan mengenali kepelbagaian budaya, malah dapat menghayati hubungan antara ilmu, nilai, alam dan masyarakat dalam kehidupan seharian.

Program Sangkutan Outbound Ulul Albab UPSI Peringkat 3 Tahun 2026 bersama Universiti Fatoni dan Yayasan As-Salam sekali gus menjadi platform yang mempertemukan pembelajaran, pengalaman antarabangsa dan khidmat kemasyarakatan dalam usaha membentuk mahasiswa yang berilmu, berakhlak serta mempunyai kesedaran terhadap tanggungjawab sosial.