Oleh : Suriati Ismail
TANJONG MALIM, 17 September 2026 – Kebajikan dan keselamatan pelajar terus menjadi keutamaan Kolej Harun Aminurrashid (KHAR), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), khususnya sepanjang kemasukan seramai 1,555 orang pelajar baharu ke kolej kediaman bagi sesi pengajian baharu.
Dalam tempoh kemasukan dan penyesuaian pelajar baharu, barisan Felo KHAR sentiasa berada dalam keadaan siapsiaga bagi memastikan kebajikan pelajar terpelihara, termasuk membantu pelajar yang mengalami masalah kesihatan seperti demam, gastrik, kecederaan ringan serta keadaan kesihatan lain yang memerlukan pemeriksaan dan rawatan segera.
Komitmen tersebut turut dizahirkan apabila Felo KHAR sanggup menghantar dan mengiringi pelajar mendapatkan rawatan tanpa mengira masa, termasuk pada waktu malam dan di luar waktu bertugas. Malah, terdapat keadaan yang memerlukan Felo berulang kali menghantar pelajar ke Klinik Kesihatan Tanjong Malim serta Hospital Slim River bagi mendapatkan pemeriksaan dan rawatan susulan.
Tindakan berterusan ini mencerminkan peranan Felo yang bukan sekadar memantau disiplin dan pengurusan kolej, malah turut menjadi antara barisan hadapan yang memastikan kebajikan, keselamatan dan kesejahteraan pelajar sentiasa diberi perhatian.
enurut Ketua Felo Kolej Harun Aminurrashid, Dr. Ridhwan, tanggungjawab menjaga kebajikan pelajar merupakan amanah yang perlu dilaksanakan dengan penuh keprihatinan.
“Bagi kami, pelajar bukan sekadar penghuni kolej, tetapi mereka adalah amanah yang perlu kami jaga. Apabila mereka sakit, cedera atau memerlukan bantuan, kami akan cuba membantu sedaya upaya tanpa melihat kepada masa. Walaupun perlu berulang kali ke klinik atau hospital, kebajikan dan keselamatan pelajar tetap menjadi keutamaan kami.”



Manakala En. Rusyam Felo Blok 4 turut menegaskan bahawa tempoh kemasukan pelajar baharu merupakan fasa penting kerana sebahagian daripada mereka masih dalam proses menyesuaikan diri dengan persekitaran universiti dan kehidupan di kolej kediaman.
“Kita mahu pelajar baharu merasakan bahawa mereka tidak bersendirian apabila berada di kolej. Felo sentiasa ada untuk membantu, membimbing dan memastikan mereka mendapat perhatian yang sewajarnya, terutama apabila berhadapan dengan masalah kesihatan atau kecemasan.”
Komitmen Felo KHAR ini memperlihatkan semangat ‘kebajikan pelajar didahulukan’ serta usaha berterusan pihak kolej dalam mewujudkan persekitaran kediaman yang selamat, prihatin dan mesra pelajar.
Dengan jumlah 1,555 pelajar baharu yang mula menyesuaikan diri di KHAR, kesiapsiagaan barisan Felo menjadi elemen penting dalam memastikan setiap pelajar mendapat sokongan yang diperlukan sepanjang berada di kolej.

