Sesi penandaarasan antara Pusat ICT UPSI dan UiTM Shah Alam yang berlangsung secara dalam talian.Sesi penandaarasan antara Pusat ICT UPSI dan UiTM Shah Alam yang berlangsung secara dalam talian.

Oleh : Yasmin Ahmad

Photo : Bahagian Infrastruktur Pusat ICT, UPSI

TANJONG MALIM, 14 September 2026 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam mengadakan sesi penandaarasan bersama Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (Pusat ICT) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) secara dalam talian bagi perkongsian pelaksanaan Proxmox untuk infrastruktur virtual dan DevOps. Sesi tersebut diketuai oleh Dr. Mohd Hairy bin Mohammadiah, Pengarah Bahagian Infrastruktur Digital UiTM Shah Alam, dan Ts. Dr. Megat Nazrin bin Ahmad, Ketua Pegawai Digital Pusat ICT UPSI.

Perkongsian Pusat ICT UPSI mengetengahkan perkembangan infrastruktur virtual daripada penggunaan VMware sejak 2009 kepada platform sumber terbuka sebelum pelaksanaan Proxmox bermula pada 2021. Migrasi tersebut dilaksanakan dengan sokongan perunding atau vendor pada peringkat awal sebelum pengurusan dan peningkatan kluster diteruskan oleh pasukan dalaman UPSI.

Beberapa platform sumber terbuka turut dinilai sebelum Proxmox digunakan, melibatkan pertimbangan terhadap aspek seni bina, pengurusan dan kesesuaian dengan persekitaran sedia ada. Perkongsian turut menyentuh penggunaan Proxmox Backup Server (PBS) bagi keperluan sandaran dan pemulihan bencana.

Dalam sesi sama, UiTM Shah Alam turut berkongsi pelaksanaan DevOps dan teknologi kontena dalam pembangunan sistem, termasuk Agile Scrum, CI/CD dan DevSecOps serta penggunaan Docker Swarm dan Kubernetes.

Perkongsian dua hala ini menghimpunkan pelaksanaan Proxmox oleh UPSI dan DevOps oleh UiTM Shah Alam, sekali gus menyediakan ruang kepada kedua-dua institusi untuk berkongsi pengetahuan serta pendekatan dalam pembangunan dan pengurusan infrastruktur ICT.