oleh Muhammad Alif Azizi dan Siti Salwa Jamaldin
KUALA LUMPUR, 16 September 2026 – Kumpulan Tarian Destar Limar, Pusat Kebudayaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyerlahkan seni warisan Melayu menerusi penyertaan sebagai kumpulan persembahan khas pada program Keretapi Sarong 2026 (KS2026) di Stesen MRT Sri Damansara Baru, di sini.
Program tahunan bersempena sambutan Hari Malaysia itu menyaksikan Destar Limar mempersembahkan seni tari tradisional dengan mengenakan busana warisan yang mengetengahkan elemen sulaman, songket dan perhiasan tradisional.
Persembahan berkenaan bukan sahaja menampilkan keindahan seni budaya Melayu, malah membawa mesej perpaduan selaras dengan semangat sambutan Hari Malaysia yang menghimpunkan masyarakat daripada pelbagai latar belakang.
Penglibatan Destar Limar dalam program berskala besar itu turut menjadi platform kepada mahasiswa UPSI untuk memperkenalkan dan memelihara seni warisan negara melalui persembahan kebudayaan kepada masyarakat.
Kehadiran kumpulan berkenaan bersama peserta lain turut memeriahkan sambutan KS2026 yang menghimpunkan orang ramai menerusi aktiviti berasaskan kebudayaan dan perpaduan.
Penyertaan itu mencerminkan usaha UPSI dalam memberi ruang kepada mahasiswa mengembangkan bakat serta menghayati kepentingan pemeliharaan seni dan budaya sebagai sebahagian daripada pembentukan identiti generasi muda.
Keretapi Sarong merupakan program tahunan yang diadakan sempena sambutan Hari Malaysia dan menghimpunkan peserta yang mengenakan pakaian tradisional serta busana bertemakan budaya tempatan dalam perjalanan menggunakan pengangkutan awam.
