Oleh: Busuniza
Dalam perjalanan saya sebagai seorang pemuzik, terdapat pengalaman tertentu yang kekal dalam ingatan, bukan hanya kerana siapa yang berada di atas pentas bersama kita, tetapi kerana proses, cabaran dan pembelajaran yang berlaku di sebalik sesebuah persembahan.
Antara pengalaman yang paling bermakna bagi saya ialah apabila diberi peluang sekali lagi untuk bermain gitar bagi mengiringi persembahan Muss, bekas vokalis kumpulan May, sempena Pesta Penang. Penglibatan kali ini menjadi lebih istimewa kerana ia merupakan tahun kedua saya diberi kepercayaan untuk mengiringi persembahan beliau sebagai pemain gitar jemputan. Bagi saya, apabila seseorang artis menjemput semula pemuzik yang sama untuk kali kedua, ia membawa makna yang tersendiri. Dalam dunia muzik profesional, kepercayaan seperti itu bukan hanya bergantung pada kemampuan bermain alat muzik, tetapi turut melibatkan disiplin, keserasian, komunikasi, sikap dan kemampuan seseorang pemuzik menyesuaikan diri dengan keperluan sesebuah persembahan.

Persembahan kali ini turut memberikan saya peluang untuk bermain bersama-sama barisan pemuzik profesional yang berpengalaman luas dalam industri muzik tanah air. Bahagian bes dimainkan oleh Eddie daripada kumpulan XPDC, manakala bahagian dram dimainkan oleh Lola, juga daripada kumpulan XPDC. Turut bersama ialah seorang pemain papan nada profesional yang melengkapkan barisan pemuzik bagi persembahan tersebut.

Persediaan untuk persembahan bermula melalui beberapa sesi latihan di Avia Musicom Studio, Pandan Indah, Ampang. Kami menjalani kira-kira tiga sesi latihan pada hari yang berbeza. Dua sesi latihan awal hanya melibatkan barisan pemuzik tanpa kehadiran penyanyi. Pada peringkat ini, fokus utama kami adalah untuk menyelaraskan struktur lagu, susunan muzik, tempo, pembukaan, penutup, peralihan, dinamik serta pembahagian peranan bagi setiap instrumen. Sepanjang kedua-dua sesi tersebut, Eddie yang bertindak sebagai pengarah muzik dan juga pemilik Avia Musicom Studio turut merakam audio latihan untuk diberikan kepada Mus sebagai bahan rujukan. Rakaman berkenaan membolehkan Mus membuat persediaan dan latihan kendiri terlebih dahulu sebelum hadir ke sesi latihan bersama keseluruhan barisan pemuzik.
Pendekatan seperti ini merupakan antara kaedah kerja yang lazim digunakan dalam persediaan persembahan profesional, termasuk bagi konsert berskala besar yang melibatkan artis dan kumpulan muzik mereka masing-masing. Selain membantu penyanyi memahami susunan muzik lebih awal, kaedah ini turut menjadikan sesi latihan penuh lebih teratur, fokus dan berkesan, kerana sebahagian besar struktur serta susunan lagu telah diselaraskan terlebih dahulu oleh barisan pemuzik. Walaupun lagu-lagu yang dimainkan terdiri daripada genre rok, pop dan balada, proses latihan tetap dijalankan secara tersusun. Setiap pemain perlu benar-benar memahami kedudukan masing-masing dalam susunan muzik supaya keseluruhan bunyi tidak terlalu padat dan setiap instrumen mempunyai ruang yang sesuai.

Pada sesi latihan yang ketiga, barulah Mus hadir untuk latihan bersama keseluruhan barisan pemuzik. Sesi tersebut memberikan peluang kepada kami untuk menyesuaikan semula beberapa bahagian mengikut keperluan vokal, gaya penyampaian dan bentuk persembahan yang ingin dibawa ke pentas. Dalam keseluruhan proses latihan tersebut, Eddie bukan sahaja bertindak sebagai pemain bes, malah turut memainkan peranan sebagai pengarah muzik. Beliau menyediakan skor muzik (chord chart) sebagai rujukan kepada semua pemuzik.
Bagi saya, penyediaan bahan seperti ini amat membantu. Walaupun pemuzik yang terlibat mempunyai pengalaman luas dan sudah biasa bermain lagu-lagu rok, pop serta balada, skor muzik (chord chart) menjadikan proses latihan lebih teratur dan mudah. Semua pemain mempunyai rujukan yang sama terhadap bentuk lagu, struktur, perubahan kord dan susunan muzik. Sekiranya berlaku perubahan semasa latihan, setiap pemain dapat menyesuaikan diri dengan lebih cepat.
Salah satu perkara yang paling memberikan kepuasan kepada saya sepanjang proses tersebut ialah kebebasan untuk berkarya. Kami tidak sekadar memainkan semula lagu berdasarkan rakaman album asal. Sebahagian lagu telah melalui proses gubahan semula dengan susunan muzik yang baharu. Ada lagu yang pernah dimuatkan semula dalam album kompilasi dengan arrangement yang berbeza daripada versi asal. Oleh itu, dalam beberapa lagu kami menggunakan susunan yang lebih terkini dan sepanjang sesi latihan turut berlaku beberapa penambahan serta penyesuaian pada arrangement. Sebagai pemain gitar, saya tidak hanya perlu menghafal bahagian gitar daripada rakaman sedia ada. Saya turut diberikan ruang untuk bereksperimen, mencuba idea sendiri dan membentuk melodi mengikut kesesuaian susunan muzik.

Pada beberapa bahagian tertentu, terutama ruang solo gitar, saya diberikan kebebasan untuk menghasilkan frasa dan pendekatan permainan sendiri. Antara lagu yang paling saya ingati ialah “Cintamu Mekar Di Hati”. Pada bahagian solo gitar di pertengahan lagu tersebut, saya menghasilkan sendiri melodi yang ingin dimainkan. Saya tidak mengikuti solo secara 100 peratus daripada rakaman album asal dan tidak juga menyalin versi daripada album kompilasi. Saya memilih untuk mencipta melodi sendiri berdasarkan arrangement yang kami bawakan ketika itu. Bagi saya, pengalaman seperti ini memberikan satu kepuasan yang sangat besar.
Sebagai pemain gitar, kita sememangnya mahu mempunyai identiti permainan sendiri. Namun, dalam konteks mengiringi seseorang penyanyi, kebebasan itu perlu digunakan dengan penuh pertimbangan. Ia bukan tentang bermain sebanyak mungkin nota atau cuba menonjolkan diri. Sebaliknya, kita perlu tahu bagaimana hendak menyumbang kepada lagu tanpa mengganggu karakter asalnya. Kadangkala, satu frasa yang ringkas tetapi dimainkan pada ruang yang tepat boleh memberikan impak yang lebih besar berbanding solo yang terlalu sarat. Itulah antara perkara yang saya pelajari daripada pengalaman ini.
Repertoire yang dibawakan pada persembahan tersebut juga cukup menarik kerana merangkumi pelbagai karakter lagu. Antara lagu yang dimainkan dalam set persembahan pada malam tersebut ialah “Terharu”, “Hakikat Perjuangan”, “Gadis Bertudung Putih”, “Cintamu Mekar Di Hati”, “Biru Mata Hitamku”, “Dari Kacamata”, “Sketsa Sebuah Cinta” dan “Sendiri”. Setiap lagu memerlukan pendekatan yang berbeza dari sudut tone gitar, irama, dinamik dan penggunaan ruang. Ada lagu yang memerlukan permainan lebih bertenaga, ada yang perlu dibawa dengan pendekatan lebih melodik dan ada juga yang memberikan ruang lebih luas untuk saya bereksperimen melalui permainan solo.
Selepas selesai sesi-sesi latihan di Kuala Lumpur, kami bergerak ke Pulau Pinang bagi menjayakan persembahan di Pesta Penang. Seperti kebiasaan bagi sesebuah produksi persembahan secara langsung, persediaan pada hari persembahan bermula lebih awal. Pada sebelah petang, kami menjalani latihan ringkas dan soundcheck bagi memastikan sistem audio, monitor dan peralatan yang digunakan berada dalam keadaan baik.
Bagi sesetengah orang, soundcheck mungkin sekadar proses menguji sama ada mikrofon dan instrumen berfungsi. Namun, bagi seorang pemuzik, ia merupakan sebahagian daripada proses penting sebelum naik ke pentas. Sebagai pemain gitar, saya perlu memastikan tone, kelantangan dan effect yang digunakan berada pada tahap yang sesuai dengan keseluruhan kumpulan. Gitar tidak boleh terlalu kuat sehingga menenggelamkan vokal, tetapi tidak juga boleh terlalu perlahan sehingga kehilangan karakter. Begitu juga dengan keseimbangan antara gitar, bes, papan nada dan dram. Setiap elemen perlu berada pada tempatnya supaya keseluruhan bunyi menjadi lebih tersusun.
Apabila persembahan bermula pada sebelah malam, segala persediaan yang dilakukan sejak sesi latihan di studio mula menunjukkan hasilnya. Bermain bersama-sama pemuzik profesional memberikan satu bentuk pengalaman yang berbeza. Saya dapat melihat bagaimana setiap individu memberikan perhatian kepada keseluruhan lagu, bukan hanya instrumen masing-masing. Komunikasi di atas pentas pula tidak semestinya berlaku melalui percakapan. Kadangkala, satu pandangan mata, pergerakan badan, isyarat tangan atau hentakan tertentu daripada pemain dram sudah cukup untuk memberikan petunjuk kepada pemain lain.
Dalam situasi seperti ini, kita benar-benar memahami bagaimana muzik boleh menjadi satu bahasa yang hidup. Pengalaman tersebut turut mengajar saya bahawa untuk menjadi seorang pemuzik profesional, kemahiran teknikal semata-mata tidak mencukupi. Seorang pemuzik perlu mempunyai disiplin, kemampuan membaca skor muzik (chord chart), kepekaan mendengar, kebolehan menyesuaikan diri serta sikap profesional ketika bekerja bersama-sama orang lain. Lebih penting lagi, seorang pemuzik pengiring perlu memahami bahawa tugas utamanya adalah untuk menyokong penyanyi dan menjadikan persembahan secara keseluruhan lebih baik.
Bagi saya, peluang bermain bersama-sama Mus dan barisan pemuzik profesional dalam Pesta Penang merupakan salah satu pencapaian peribadi yang saya hargai sepanjang penglibatan saya sebagai seorang freelance musician yang mengiringi artis tempatan yang lain. Lebih-lebih lagi apabila saya diberikan kebebasan untuk menyumbang idea muzik sendiri dan menghasilkan solo gitar yang bukan sekadar meniru rakaman asal. Peluang seperti itu memberikan keyakinan dan kepuasan tersendiri kepada saya sebagai seorang gitaris. Penglibatan untuk tahun kedua ini juga menjadikan pengalaman tersebut lebih bermakna. Saya amat menghargai kepercayaan yang diberikan oleh Mus untuk sekali lagi menerima saya sebagai pemain gitar jemputan bagi mengiringi persembahan beliau.
Sekiranya Pesta Penang terus dianjurkan pada tahun hadapan, sudah tentu saya amat berbesar hati sekiranya beliau sudi menjemput saya sekali lagi untuk bersama-sama menjayakan persembahan tersebut. Bagi saya, setiap peluang untuk berada di atas pentas bersama artis dan pemuzik berpengalaman bukan sekadar satu pekerjaan. Ia merupakan sebahagian daripada perjalanan pembelajaran sebagai seorang pemuzik.

Setiap latihan, setiap arrangement, setiap soundcheck dan setiap persembahan meninggalkan sesuatu yang boleh dipelajari. Setiap kali saya memegang gitar untuk sesebuah persembahan, saya percaya masih ada ruang untuk belajar, berkarya dan memberikan sesuatu yang lebih baik daripada sebelumnya. Akhirnya, walaupun setiap pemuzik datang daripada latar belakang, pengalaman dan gaya permainan yang berbeza, apabila berada di atas pentas, kita semua berkomunikasi melalui satu bahasa yang sama, iaitu bahasa muzik.
