Dr. Sakinah Salleh bersama para guru SMK Lepar selepas sesi perkongsian yang menekankan penerapan pedagogi berteraskan Ulul Albab dalam pembentukan karakter dan kepimpinan murid.Dr. Sakinah Salleh bersama para guru SMK Lepar selepas sesi perkongsian yang menekankan penerapan pedagogi berteraskan Ulul Albab dalam pembentukan karakter dan kepimpinan murid.

PAHANG, 23 September 2026 – Seramai 30 guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lepar Utara menyertai program perkongsian pedagogi dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) bertajuk Pengurusan Pembelajaran Berteraskan Ulul Albab: Integrasi Elemen QEI dalam Membentuk Karakter dan Kepimpinan yang disampaikan oleh Pengarah Pusat Ulul Albab, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Sakinah Salleh.

Program tersebut memberi penekanan terhadap penerapan pendekatan pendidikan yang bukan sahaja berfokus kepada penguasaan ilmu dan kemahiran akademik, malah turut menitikberatkan pembentukan sahsiah, nilai, empati dan kepimpinan dalam kalangan murid.

Dalam perkongsian tersebut, Dr. Sakinah turut mengetengahkan konsep Technological Pedagogical Content Knowledge (TPACK) sebagai salah satu kerangka penting dalam memperkukuh kompetensi pedagogi guru dalam mendepani keperluan pendidikan semasa. TPACK mengintegrasikan tiga komponen utama, iaitu Content Knowledge (CK), Pedagogical Knowledge (PK) dan Technological Knowledge (TK).

Content Knowledge (CK) merujuk kepada penguasaan guru terhadap kandungan atau bidang ilmu yang diajar, manakala Pedagogical Knowledge (PK) pula melibatkan pengetahuan tentang kaedah, strategi dan pendekatan pengajaran yang bersesuaian dengan keperluan murid. Sementara itu, Technological Knowledge (TK) merangkumi pengetahuan dan keupayaan guru dalam memanfaatkan teknologi secara berkesan bagi menyokong proses PdP.

Pendekatan tersebut dilihat relevan dalam memperkukuh peranan guru sebagai pendidik yang mampu mengintegrasikan ilmu, pedagogi dan teknologi secara seimbang bagi menghasilkan pengalaman pembelajaran yang lebih bermakna dan kontekstual.

Dr. Sakinah Salleh menyampaikan perkongsian berkaitan pedagogi berteraskan Ulul Albab kepada guru-guru SMK Lepar, Pahang.
Dr. Sakinah Salleh menyampaikan perkongsian berkaitan pedagogi berteraskan Ulul Albab kepada guru-guru SMK Lepar, Pahang.
Dr. Sakinah Salleh menyampaikan perkongsian berkaitan pedagogi berteraskan Ulul Albab kepada guru-guru SMK Lepar, Pahang.

Selain itu, perkongsian turut memberi penekanan terhadap konsep Pendidikan Bil-Hikmah, yang berteraskan kebijaksanaan dalam meletakkan sesuatu pada tempat yang sesuai serta memahami latar belakang, keperluan dan konteks individu yang dididik.

Menurut Dr. Sakinah, pendekatan Bil-Hikmah menuntut guru untuk memahami bahawa setiap murid mempunyai latar belakang, keupayaan dan keperluan pembelajaran yang berbeza. Justeru, proses mendidik perlu dilaksanakan dengan penuh kebijaksanaan, empati dan pertimbangan agar teguran serta bimbingan dapat disampaikan secara membina tanpa merendahkan maruah murid.

Para guru turut didedahkan kepada prinsip “membimbing tanpa merendahkan dan menegur tanpa memalukan” sebagai asas penting dalam membentuk hubungan pendidikan yang lebih positif antara guru dengan murid.

Dalam sesi interaktif tersebut, peserta turut diperkenalkan kepada formula konseptual Pendidikan Bil-Hikmah yang menggabungkan empati, nilai dan kebijaksanaan sebagai elemen penting dalam membentuk pendekatan pendidikan yang lebih manusiawi dan berkesan.

Pendekatan ini selaras dengan aspirasi pendidikan yang menekankan pembangunan insan secara holistik, iaitu bukan sekadar pencapaian akademik, tetapi turut merangkumi pembinaan karakter, nilai murni, kemahiran sosial dan kepimpinan.

Program berkenaan turut membuka ruang kepada para guru untuk berkongsi pengalaman, pandangan serta cabaran yang dihadapi dalam melaksanakan PdP, sekali gus memperkayakan wacana profesional berkaitan penerapan nilai dan pendekatan Ulul Albab dalam konteks pendidikan semasa.

Perkongsian tersebut diharapkan dapat memperkukuh kefahaman dan kompetensi guru dalam mengintegrasikan pendekatan pedagogi yang berteraskan hikmah, empati dan nilai, seterusnya menyumbang kepada pembentukan generasi pelajar yang berilmu, berakhlak serta mempunyai jati diri dan kepimpinan