TANJONG MALIM, 25 September 2026: Seramai 150 mahasiswa Universitas Bengkulu, Indonesia mendapat pendedahan mengenai kepentingan literasi, numerasi dan inovasi digital dalam pendidikan Matematik menerusi program Visiting Professor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), baru-baru ini.
Program yang berlangsung pada 22 Sept di Studio GB3, Fakulti Keguruan dan Ilmu Pendidikan (FKIP), Universitas Bengkulu itu menampilkan Profesor Madya Dr Siti Rahaimah Ali sebagai penceramah dalam kuliah tamu bertajuk “Digitalisasi Pendidikan melalui Kemampuan Literasi, Numerasi dan Inovasi Digital”.
UPSI dalam kenyataan berkata program berkenaan merupakan antara inisiatif pengantarabangsaan akademik yang membuka ruang perkongsian kepakaran, pengalaman penyelidikan dan amalan inovasi pendidikan antara institusi pengajian tinggi Malaysia dan Indonesia.
Menurut kenyataan itu, kuliah tamu berkenaan memberi fokus kepada perubahan landskap pendidikan susulan perkembangan teknologi digital serta keperluan bakal guru dan graduan memiliki kompetensi digital yang kukuh.
“Perbincangan turut memberi penekanan kepada tiga komponen utama iaitu literasi, numerasi dan inovasi digital dalam menyokong pembelajaran serta pengajaran Matematik yang lebih interaktif, kolaboratif, kontekstual dan berpusatkan pelajar,” menurut kenyataan itu.
Dalam sesi tersebut, mahasiswa turut didedahkan kepada konsep literasi digital yang merangkumi keupayaan mencari, memahami, menilai dan mentafsir maklumat secara kritis, manakala numerasi dilihat sebagai keupayaan menggunakan penaakulan matematik serta pemikiran kuantitatif untuk menyelesaikan masalah dalam kehidupan sebenar.
Aspek inovasi digital pula diketengahkan menerusi penggunaan teknologi dan aplikasi digital secara kreatif dan bermakna bagi meningkatkan pengalaman pembelajaran.
Sesi interaksi dan soal jawab turut memberi peluang kepada mahasiswa berkongsi pengalaman serta mengemukakan pandangan mengenai penggunaan teknologi dalam pembelajaran, selain membincangkan cabaran mengintegrasikan inovasi digital dalam pendidikan Matematik.



UPSI berkata program berkenaan turut menjadi platform untuk memperkenalkan peluang melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana dan PhD kepada mahasiswa Universitas Bengkulu.
“Promosi tersebut memberi pendedahan awal mengenai laluan pengajian pascasiswazah, bidang kepakaran, peluang penyelidikan serta potensi kerjasama akademik yang boleh diterokai mahasiswa,” menurut kenyataan itu.
Selain memperluas jaringan akademik antara UPSI dan Universitas Bengkulu, program tersebut turut membuka ruang kepada penerokaan kerjasama dalam bidang penyelidikan literasi, numerasi dan inovasi digital, mobiliti akademik serta pertukaran pelajar.
UPSI berkata kesinambungan kerjasama turut boleh diperluas menerusi seminar antarabangsa, kolokium penyelidikan, penerbitan bersama dan projek inovasi pendidikan.
Program Visiting Professor itu sekali gus menyokong agenda pengantarabangsaan UPSI melalui perkongsian kepakaran, peluasan jaringan akademik dan promosi peluang pendidikan tinggi kepada mahasiswa antarabangsa.
