Oleh: Nur Raudhah Ezilyn Nor Effindi
TANJUNG MALIM – Kolej Za’ba, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor, Perak, Pahang, Selangor serta PPD Muallim telah berjaya menganjurkan Program Sekolahku Universitiku (SKUK) 18.0: Road to UPSI bertempat di Kampus Sultan Azlan Shah. Program berprestij selama tiga hari dua malam ini bertujuan untuk memberi pendedahan awal serta menyuntik semangat kepada pelajar Tingkatan 6 untuk melanjutkan pengajian ke peringkat menara gading.
Bagi memupuk gaya hidup sihat dan daya tahan mental yang tinggi, para peserta telah didedahkan dengan pelbagai aktiviti rekreasi lasak di UPSI Adventure Park termasuk ikhtiar hidup, laluan berhalangan, dan pengembaraan alam semula jadi. Aktiviti ini bukan sahaja menguji fizikal, malah memupuk kesedaran tentang kepentingan pemuliharaan flora dan fauna.



Selain aktiviti lasak, sahsiah dan kepimpinan peserta turut diasah menerusi permohonan modul Latihan Dalam Kumpulan (LDK), slot kerohanian, dan cabaran Treasure Hunt di sekitar kolej kediaman. Program ini juga selari dengan matlamat Sustainable Development Goals (SDG) dalam melahirkan generasi yang seimbang dari segi intelek, emosi, rohani, dan jasmani.
Kemuncak program disemarakkan lagi dengan Malam Apresiasi Seni & Budaya, yang menampilkan bakat, kreativiti, serta semangat kerjasama kumpulan dalam kalangan peserta. Majlis penutupan rasmi telah disempurnakan pada hari terakhir bagi memberi penghargaan atas penglibatan aktif seramai 157 orang peserta bersama 20 orang guru pengiring daripada enam buah sekolah dan kolej Tingkatan 6 yang terlibat.
“Gunakanlah pengalaman hari ini sebagai salah satu langkah untuk mempersiapkan diri menuju ke alam pengajian tinggi dan seterusnya ke alam kerjaya,” kata wakil pihak penganjur sebelum majlis penyampaian hadiah disempurnakan.
