Murid-murid bergambar bersama Prof. Dr. Suriani Abu BakarMurid-murid bergambar bersama Prof. Dr. Suriani Abu Bakar

Oleh: Shahaniza Shamsuddin

TANJONG MALIM, 30 September 2026 – Seramai 67 orang murid Sekolah Rendah Seri Budiman (SRSB), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyertai Junior Innovator Competition (JIC) 2026, sebuah platform yang memberi peluang kepada murid meneroka kreativiti, teknologi dan inovasi menerusi pengalaman pembelajaran secara praktikal.

Program anjuran Pusat Inisiatif Pemodenan Pendidikan (PIPP) dengan kerjasama Sekolah Rendah Seri Budiman (SRSB) itu berlangsung di SRSB, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI dan dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UPSI, Profesor Dr. Suriani Abu Bakar. Majlis turut diserikan dengan kehadiran Pengurus Besar UPSI Holdings Sdn. Bhd., Encik Effendy Dato’ Mohd Zailani.

JIC 2026 memberi ruang kepada murid untuk mengetengahkan idea dan hasil inovasi melalui proses pembelajaran yang melibatkan penerokaan, perbincangan, mereka bentuk, pembinaan prototaip, pengujian idea serta pembentangan hasil inovasi. Pendekatan tersebut bukan sahaja menggalakkan kreativiti, malah membantu membina kemahiran komunikasi, penyelesaian masalah, kerja berpasukan dan keyakinan diri dalam kalangan murid.    

Menurut Profesor Dr. Suriani, program seperti JIC amat signifikan dalam mendepani perubahan landskap pendidikan yang semakin dipacu oleh perkembangan teknologi, kecerdasan buatan, robotik dan pembelajaran digital.

“Kita mahu generasi muda bukan sekadar menjadi pengguna teknologi, tetapi turut dibentuk sebagai pencipta, pereka dan inovator masa hadapan. Apa yang lebih penting bukanlah sekadar produk yang berjaya dihasilkan, tetapi proses pembelajaran yang berlaku apabila murid berani mencuba, menguji idea dan belajar daripada pengalaman,” katanya.

Beliau turut turut berharap JIC tidak terhenti sebagai sebuah pertandingan semata-mata, sebaliknya berkembang sebagai platform berterusan untuk mengenal pasti bakat, mengembangkan potensi serta membina keyakinan murid dalam bidang inovasi, sains dan teknologi. Program tersebut juga diharapkan dapat diperluaskan ke peringkat yang lebih besar pada masa akan datang.

Sesi penjurian projek kanak-kanak
Pemenang Anugerah Emas bergambar bersama Prof. Dr. Suriani Abu Bakar dan lain-lain tetamu khas.
Pemenang Anugerah Emas bergambar bersama Prof. Dr. Suriani Abu Bakar dan lain-lain tetamu khas.

Penganjuran JIC 2026 turut dimeriahkan dengan pameran daripada pelajar dan pensyarah Fakulti Komputeran dan META Teknologi serta Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UPSI. Pameran berkenaan memberi peluang kepada murid untuk melihat dengan lebih dekat aplikasi teknologi, kreativiti dan inovasi, selain membuka ruang interaksi dan perkongsian ilmu bersama komuniti akademik UPSI.

Kejayaan penganjuran JIC 2026 turut mendapat sokongan dan sumbangan daripada rakan penaja, iaitu NHK Bioscience Solutions Sdn. Bhd., MR D.I.Y., Les’ Copaque Production dan Cekal Utama Enterprise. Sokongan daripada pihak industri dan rakan strategik ini mencerminkan komitmen bersama dalam menyokong usaha memperkasa pendidikan, kreativiti serta pembudayaan inovasi dalam kalangan generasi muda. Nama keempat-empat penaja tersebut turut dinyatakan dalam teks ucapan perasmian TNCPI.