JELEBU, NEGERI SEMBILAN – Pusat Alumni Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) meneruskan inisiatif Ziarah Kasih dengan menziarahi Cikgu Idris bin Daud, salah seorang alumni era Sultan Idris Training College (SITC) di Jelebu, Negeri Sembilan.

Kunjungan ini menjadi sebahagian daripada usaha Pusat Alumni untuk menghargai alumni terdahulu yang telah menjadi sebahagian daripada sejarah perkembangan pendidikan di negara ini. Kisah dan sumbangan generasi SITC menjadi antara warisan penting yang menghubungkan perjalanan institusi pendidikan terdahulu dengan UPSI pada hari ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Profesor Dr. Norkhalid bin Salimin, dalam aspirasi beliau, menekankan kepentingan untuk terus menghargai dan mendekati alumni, khususnya generasi terdahulu yang mempunyai sejarah serta pengalaman yang tidak ternilai. Usaha menyantuni mereka juga menjadi ruang untuk generasi hari ini mengenali perjalanan panjang institusi dan memahami sumbangan yang telah dicurahkan sejak era SITC.

Dalam kunjungan tersebut, Pengarah Pusat Alumni UPSI, Dr. Omar Firdaus, turut menyampaikan penghargaan kepada Cikgu Idris atas sepanjang khidmat dan sumbangan beliau. Menurut beliau, generasi alumni SITC terdahulu merupakan antara mereka yang membina asas penting sehingga institusi yang diwarisi hari ini dapat berkembang dan menjadi gah seperti UPSI pada masa kini.

Sejurus menerima cenderahati daripada rombongan Pusat Alumni UPSI, Cikgu Idris turut meluahkan rasa syukur dan penghargaan atas kunjungan yang diberikan. Beliau menyatakan rasa bangga kerana pernah menjadi sebahagian daripada keluarga besar Anak Kandung Suluh Budiman, selain mengimbau kembali kenangan dan hubungan eratnya dengan institusi yang pernah menjadi sebahagian penting dalam perjalanan hidup beliau. Kunjungan tersebut turut membangkitkan rasa rindu beliau terhadap UPSI serta kenangan sepanjang berada di institusi berkenaan pada suatu ketika dahulu.

Kunjungan ini turut diserikan dengan perkongsian daripada anakanda Cikgu Idris yang turut menceritakan kisah serta pengalaman ayahanda ketika menuntut di SITC. Perkongsian tersebut memberikan gambaran tentang kehidupan dan pengalaman generasi terdahulu yang melalui zaman pendidikan yang berbeza daripada hari ini, termasuk kenangan sepanjang berada di SITC bersama rakan-rakan seperjuangan.

Lebih menarik, beberapa barangan bersejarah milik Cikgu Idris turut diperlihatkan kepada rombongan, termasuk sijil tamat pengajian serta poskad ucapan daripada rakan-rakan seperjuangan yang masih disimpan dengan baik sejak sekian lama. Bahan-bahan tersebut bukan sekadar menjadi kenangan peribadi, malah mempunyai nilai sejarah yang menggambarkan hubungan persahabatan dan pengalaman warga SITC pada suatu ketika dahulu.

Kunjungan ini secara tidak langsung membuka ruang untuk Pusat Alumni mengenali dengan lebih dekat kisah perjalanan generasi terdahulu serta menghargai tinggalan sejarah yang masih tersimpan dalam keluarga. Setiap dokumen, catatan dan kenangan yang dipelihara menjadi bukti kepada satu perjalanan panjang yang membentuk sebahagian daripada sejarah pendidikan dan UPSI.

Melalui Ziarah Kasih, Pusat Alumni UPSI terus berusaha mendekati alumni daripada pelbagai generasi, termasuk mereka yang pernah menjadi sebahagian daripada sejarah awal institusi pendidikan yang menjadi asas kepada UPSI hari ini. Kisah Cikgu Idris bin Daud dan generasi SITC mengingatkan kita bahawa kemajuan yang dinikmati hari ini tidak terpisah daripada jasa dan sumbangan generasi terdahulu.