TANJONG MALIM, 23 September 2026 – Pusat Alumni, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperluas hubungan bersama komuniti graduan di peringkat antarabangsa menerusi penubuhan UPSI Alumni Chapter Wilayah Jawa, Indonesia, yang menghimpunkan alumni UPSI dari enam wilayah utama iaitu Jakarta, Banten, Jawa Barat, Jawa Tengah, Daerah Istimewa Yogyakarta dan Jawa Timur.
Pertemuan yang berlangsung secara dalam talian menerusi Google Meet ini melibatkan alumni UPSI dari keenam-enam wilayah berkenaan. Sesi tersebut menjadi ruang untuk berkongsi perkembangan semasa universiti, bertukar pandangan serta membincangkan bentuk penglibatan yang boleh dilaksanakan oleh alumni di wilayah masing-masing.
Dalam perkongsian yang tersebut, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Profesor Dr. Norkhalid bin Salimin, menekankan kepentingan peranan alumni sebagai sebahagian daripada komuniti universiti yang terus berkembang. Aspirasi yang dikongsikan turut memberi penekanan terhadap sumbangan alumni melalui kepakaran, pengalaman serta hubungan yang dibina sepanjang berada dalam dunia pendidikan dan kerjaya.
Sementara itu, Pengarah Pusat Alumni UPSI, Dr. Omar Firdaus, dalam ucapannya berkongsi mengenai peranan alumni serta usaha universiti dalam memastikan hubungan dengan warga graduan terus dipelihara. Perkongsian tersebut turut memberikan gambaran mengenai pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh UPSI dan Pusat Alumni bagi membuka ruang kepada alumni untuk terus terlibat dalam program dan aktiviti universiti.
Antara pengisian utama majlis ialah sesi “Suara Alumni: 6 Wilayah, 1 Jaringan” yang memberi peluang kepada alumni dari setiap wilayah untuk berkongsi pandangan, cadangan dan idea berkaitan aktiviti yang boleh dilaksanakan melalui chapter. Sesi tersebut turut membuka perbincangan mengenai program yang bersesuaian dengan keperluan serta potensi alumni di setiap wilayah.
Majlis turut menyaksikan pelantikan Profesor Akhsanul In’am sebagai Pengerusi UPSI Alumni Chapter Wilayah Jawa, Indonesia. Pelantikan ini bertujuan mewujudkan jawatankuasa kecil dalam kalangan alumni UPSI di wilayah Jawa, Indonesia, selain menjadi penghubung antara Pusat Alumni UPSI dengan alumni dari enam wilayah yang terlibat.
Dalam peranan tersebut, Pengerusi chapter akan membantu menyusun hubungan dan kerjasama dalam kalangan alumni di peringkat wilayah, selain menyelaras aktiviti serta inisiatif yang dapat meningkatkan penglibatan warga graduan di Jawa, Indonesia.
Melalui struktur ini, cadangan program dan aktiviti daripada alumni dapat disalurkan dengan lebih teratur untuk dibincangkan dan diselaraskan bersama Pusat Alumni UPSI. Pendekatan ini juga memberi ruang kepada alumni untuk bersama-sama merancang aktiviti berdasarkan kepakaran, pengalaman serta keperluan komuniti setempat.
Selain itu, sesi soal jawab yang diadakan turut memberi ruang kepada alumni untuk mendapatkan penjelasan serta membincangkan pelbagai bentuk program yang boleh dilaksanakan pada masa akan datang. Perbincangan bukan sahaja menyentuh program semasa, malah turut merangkumi cadangan berkaitan program pasca bagi memastikan inisiatif yang dirancang dapat diteruskan secara berperingkat.
Perkongsian dan perbincangan dua hala sepanjang sesi turut memberi gambaran mengenai kesediaan alumni untuk memainkan peranan dalam pelbagai aktiviti yang dapat menghubungkan mereka dengan UPSI serta sesama graduan di wilayah masing-masing.
Penubuhan UPSI Alumni Chapter Wilayah Jawa, Indonesia menjadi satu lagi langkah Pusat Alumni UPSI dalam memperluas kehadiran komuniti graduan di peringkat antarabangsa. Penglibatan alumni dari enam wilayah ini diharapkan dapat membuka lebih banyak ruang kepada perkongsian pengalaman, kepakaran, kerjasama serta pelaksanaan program bersama pada masa akan datang.
Melalui inisiatif ini, alumni UPSI di Jawa, Indonesia dapat terus berhubung dengan alma mater serta menyumbang melalui pelbagai bentuk penglibatan yang bersesuaian, selaras dengan usaha universiti membina komuniti alumni yang aktif dan berterusan.
