Murid dan warga SK (A) Bukit Kamandol bergambar bersama pengarah program dan fasilitator selepas selesai sesi penghasilan kompos menerusi Program Kami Sahabat Sungai dengan sokongan pembiayaan GKAS 2026Murid dan warga SK (A) Bukit Kamandol bergambar bersama pengarah program dan fasilitator selepas selesai sesi penghasilan kompos menerusi Program Kami Sahabat Sungai dengan sokongan pembiayaan GKAS 2026

oleh : Ts. Dr. Mohd Amirul Hussain, Muhammad Basiq Badrol Hisham,  Ahmad Azam  Abdul Somad, Muhammad Zaim Syahmi  Badrul Hisham 

BUKIT KAMANDOL: Sebanyak 20 kilogram sisa dapur serta tiga beg daun kering berkapasiti 60 liter setiap satu dimanfaatkan dalam sesi penghasilan kompos bersama murid dan warga Sekolah Kebangsaan (A) Bukit Kamandol menerusi Program Kami Sahabat Sungai.

Aktiviti yang mendapat sokongan pembiayaan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) melalui Geran Kecil Alam Sekitar 2026 (GKAS) itu memberi peluang kepada murid untuk melihat sendiri bagaimana sisa organik yang biasanya berakhir di tong sampah boleh diolah dan dimanfaatkan semula untuk tanaman.

Sesi penghasilan kompos tersebut memperkenalkan dua kaedah, iaitu Bokashi dan aerobik, dengan murid turut terlibat secara langsung dalam penyediaan bahan, proses mencampurkan sisa organik dan penyediaan bahan untuk proses pengkomposan.

Aktiviti berlangsung dalam suasana santai dan tidak terhad kepada penerangan semata-mata. Murid diberi peluang mencuba sendiri, bertanya dan melihat proses yang berlaku di hadapan mereka.

Sesi tersebut turut dibantu oleh mahasiswa Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang bertindak sebagai fasilitator sepanjang aktiviti. Penglibatan mahasiswa memberi ruang kepada mereka untuk berkongsi ilmu dan pengalaman secara terus bersama komuniti sekolah.

Pendekatan secara amali itu menjadi antara kekuatan program kerana murid dapat belajar melalui pengalaman sebenar. Daripada mengendalikan bahan kompos sehingga melihat bagaimana sisa dapur boleh dimanfaatkan, pembelajaran berlaku dalam bentuk yang lebih dekat dengan kehidupan seharian mereka.

Program Kami Sahabat Sungai membawa pendekatan yang mudah tetapi dekat dengan komuniti menerusi prinsip “We Learn, We Do, We Share”  iaitu belajar, melakukan dan berkongsi.

Proses menyediakan dan mencampurkan bahan organik menggunakan teknik Bokashi bagi menghasilkan kompos.
Murid turut menyediakan dan menyukat campuran bahan kompos.
Nilai 3W — We Learn, We Do, We Share — turut diterapkan apabila murid berkongsi ilmu dengan rakan-rakan dan membimbing mereka menyediakan serta menyukat bahan kompos mengikut sukatan yang ditetapkan.

Menurut pengarah program Ts. Dr. Mohd Amirul Hussain, pendidikan mengenai kelestarian tidak semestinya perlu bermula dengan perkara yang besar. Pengurusan sisa dapur di rumah, penghasilan kompos dan penjagaan persekitaran merupakan antara amalan mudah yang boleh diperkenalkan kepada generasi muda sejak di bangku sekolah.

“Daripada 20 kilogram sisa dapur ini, kita mahu murid melihat bahawa sisa bukan semestinya berakhir sebagai sampah. Ada yang boleh dimanfaatkan semula dan dikembalikan kepada tanah,” menurut pengarah program.

Kerjasama antara UPSI, SK (A) Bukit Kamandol dan MPKL melalui program ini turut memperlihatkan bagaimana pendidikan, mahasiswa dan komuniti boleh bergerak bersama dalam membina kesedaran terhadap pengurusan sisa dan penjagaan alam sekitar.

Bagi pasukan Kami Sahabat Sungai, pengalaman turun padang bersama murid merupakan sebahagian daripada usaha untuk menjadikan pendidikan alam sekitar lebih dekat dengan kehidupan sebenar selain daripada melestarikan sumber air dan sungai.