Sesi bergambar bersama ketua felo Encik Sasigaran MoneyamSesi bergambar bersama ketua felo Encik Sasigaran Moneyam

Oleh : Ahmad Faiz Hafizuddin Suhamdi

Tanjong Malim – Majlis Mahasiswa Kolej Za’ba (MMKZ), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah melaksanakan Program Perancangan Takwim Sidang 2026/2027 sepanjang tempoh 24 Ogos hingga 27 September 2026 bagi menyelaras pengurusan dan pelaksanaan program sepanjang Semester A261 dan A262.

Program ini dilaksanakan sebagai persediaan awal bagi memastikan setiap aktiviti yang dirancang dapat dijalankan secara sistematik, tersusun dan berimpak tinggi kepada warga Kolej Za’ba. Melalui program ini, barisan kepimpinan MMKZ berpeluang merangka hala tuju organisasi, menyusun jadual program tahunan serta menyelaraskan peranan dan tanggungjawab setiap portfolio.

Sepanjang pelaksanaan program, pelbagai aktiviti telah dijalankan termasuk kerja-kerja pembersihan dan penyelenggaraan fasiliti kolej seperti Kiosk Kolej Za’ba, Student Lounge, bilik MMKZ dan kemudahan dobi di setiap blok. Aktiviti tersebut dilaksanakan secara gotong-royong bagi mewujudkan persekitaran kolej yang lebih kondusif serta memupuk semangat kerjasama dalam kalangan ahli MMKZ.

Selain itu, sesi pembentangan skop tugas dan perancangan eksekutif turut diadakan bagi memperkukuh kefahaman ahli terhadap peranan masing-masing. Perbincangan yang berlangsung secara berterusan membolehkan pelbagai idea dan cadangan dikemukakan dalam usaha meningkatkan keberkesanan pengurusan organisasi serta pelaksanaan program mahasiswa.

Sesi pembentangan skop kerja setiap exco
Aktiviti gotong-royong pembersihan Kiosk Kolej Za’ba

Dalam tempoh yang sama, MMKZ turut terlibat dalam penganjuran program pembangunan komuniti dan mahasiswa seperti Sekolahku Universitiku (SKUK) dan E-PERKASA 2.0 yang memberi peluang kepada ahli untuk mengasah kemahiran kepimpinan, komunikasi serta pengurusan program.

Secara keseluruhannya, Program Perancangan Takwim Sidang 2026/2027 berjaya mencapai objektif yang ditetapkan dengan menyediakan asas pengurusan yang lebih tersusun dan efisien. Program ini turut memperkukuh semangat kerja berpasukan dalam kalangan ahli MMKZ sekali gus memastikan pelaksanaan program sepanjang Semester A261 dan A262 dapat dijalankan dengan lebih berkesan demi manfaat seluruh warga Kolej Za’ba.