Oleh : Nur Haziqah dan Nur Fasha Shuhada
Tanjong Malim, 5 oktober 2026 – Bersempena permulaan semesta baharu, Kolej Harun Aminurrashid (KHAR), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan satu sesi perjumpaan felo yang menghimpunkan para penghuni blok 3 dan 4 KHAR bersama felo serta ahli jawatankuasa blok bagi sidang 2026/2027.
Program yang dikendalikan oleh Majlis Mahasiswa Kolej iaitu Exco Blok Sakura (KHAR 3) dan juga Exco Blok Delluna (KHAR 4) ini dilaksanakan adalah bagi menyampaikan maklumat dan pendedahan kepada penghuni berkaitan kebajikan, penjagaan kesihatan, keselamatan, maklumat terkini dan juga peraturan kolej kediaman.
Sepanjang program ini berlangsung, antara pengisian utama iaitu sesi ucapan felo, soal jawab, perkongsian tentang perkara-perkara penting sepanjang keberadaan di kolej kediaman dan juga isu-isu semasa yang berlaku di kolej kediaman.
Pertemuan antara felo dan penghuni blok ini diadakan di Dewan Kolej Harun Aminurrashid dengan kehadiran lebih 300 orang penghuni. Kehadiran yang memberangsangkan ini jelas mencerminkan komitmen, semangat kebersamaan dan kesepaduan dalam kalangan penghuni dalam menyokong aktiviti kolej.
Ucapan daripada felo Blok 3 yang dikenali blok Sakura, Puan Norrulkamari binti Daud menekankan perkara berkaitan kebajikan penghuni, di kala waktu kecemasan tindakan wajar yang perlu dilakukan oleh penghuni. Selain itu, aspek kebersihan juga ditekankan dalam menjaga persekitaran kolej kediaman terutamanya mengelakkan daripada pembiakan nyamuk Aedes. Selain itu, menjaga batas pergaulan antara lelaki dan perempuan agar tidak berdua-duaan di kawasan yang gelap sekitar kolej kediaman ini amat ditegaskan kepada penghuni dalam melahirkan mahasiswa/i UPSI yang berilmu dan bersahsiah tinggi.
Seusai sahaja ucapan daripada felo blok 3, diikuti dengan ucapan felo Blok 4 iaitu blok Delluna, Encik Muhammad Rusham bin Rustam Nursim menyampaikan maklumat berkenaan kemudahan yang disediakan oleh pihak kolej kepada penghuni agar menjaga dan menggunakan sebaik mungkin setiap fasiliti yang terdapat di kolej kediaman. Beliau turut menekankan keperluan para penghuni sentiasa berpegang kepada nilai-nilai murni dan adab dalam pergaulan harian di kolej kediaman.
Seterusnya, program diteruskan dengan slot bersama ketua blok 3, saudari Sweetha dan ketua blok 4, saudari Afizah dengan pengenalan barisan Ahli Jawatankuasa (AJK) Blok. Sesi ini amat penting kepada penghuni agar lebih mengenali AJK blok dengan lebih baik selain menjadi sahabat kepada setiap penghuni di KHAR. Selain itu, peranan jawatankuasa ini amat penting dalam memastikan kebajikan penghuni Blok Sakura dan Blok Delluna sentiasa terjaga.
Seterusnya, sesi kemuncak iaitu soal jawab felo bersama penghuni bagi memberi ruang kepada mereka untuk mengemukakan pertanyaan dan pendapat. Sesi ini amat penting buat penghuni khususnya agar mereka dapat memberi pendapat dan idea melalui soalan yang diajukan. Setiap kekeliruan itu dapat difahami dengan baik melalui penerangan jelas oleh Felo blok.



Secara keseluruhannya, penganjuran sesi perjumpaan felo ini mencapai objektif dengan baik melalui sambutan kehadiran penghuni dan dilihat sebagai salah satu inisiatif yang berkesan dalam membentuk komuniti kolej yang bersatu padu, harmoni, berdisiplin dan saling menghormati antara satu sama lain.
Diharapkan usaha seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang dalam melahirkan mahasiswa/i UPSI yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai sahsiah terpuji seperti mana yang dihasratkan oleh misi dan visi universiti.
