Oleh: Adi Ratna Mohammed Nor
Tanjong Malim, 30 September 2026 – Institut Peradaban Melayu (IPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menerima kunjungan pelajar sekolah rendah Orang Asli sekitar Selangor bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Daerah Hulu Selangor dalam satu program lawatan pendidikan ke muzium.
Lawatan ini memberi peluang kepada para pelajar untuk mengenali sejarah perkembangan pendidikan di Malaysia serta mendapatkan pengalaman pembelajaran secara langsung melalui koleksi, bahan pameran dan ruang galeri yang terdapat di Muzium Pendidikan Nasional.
Sepanjang lawatan, para pelajar berpeluang meneroka pelbagai bahan pameran berkaitan sejarah pendidikan, pendidikan formal dan tidak formal serta perkembangan institusi pendidikan di Malaysia. Aktiviti lawatan secara interaktif turut memberikan ruang kepada pelajar untuk melihat, bertanya dan berkongsi pengalaman sepanjang berada di galeri.
Selain menimba ilmu, lawatan ini menjadi platform untuk memupuk minat generasi muda terhadap sejarah, warisan dan pendidikan negara, di samping memperkenalkan UPSI sebagai sebuah institusi yang mempunyai hubungan erat dengan perkembangan pendidikan di Malaysia.
Kunjungan ini turut mencerminkan peranan Muzium Pendidikan Nasional sebagai pusat pembelajaran, pendidikan muzium dan pemeliharaan warisan pendidikan, khususnya dalam menyediakan pengalaman pembelajaran yang menarik dan bermakna kepada pelajar.



Muzium Pendidikan Nasional merakamkan penghargaan kepada pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Daerah Hulu Selangor, para guru pengiring dan semua pelajar atas kunjungan serta kerjasama yang diberikan.
Sebarang permohonan bagi tujuan lawatan, kunjungan rasmi atau program pendidikan ke Muzium Pendidikan Nasional (MPN), Institut Peradaban Melayu (IPM), boleh dikemukakan melalui e-mel kepada Pengarah IPM di alamat Pengarah@IPM.upsi.edu.my.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada Cik Nur Syahirah Hanim binti Zulkifly, Pegawai Tadbir, atau Puan Adi Ratna binti Mohammed Nor, Penolong Kurator di talian 05- 450 5303.
Pihak IPM/MPN amat mengalu-alukan kunjungan dan kerjasama daripada institusi, agensi, sekolah serta masyarakat dalam usaha memperkasa apresiasi terhadap sejarah, warisan dan perkembangan pendidikan negara.

