Oleh: Puan Adi Ratna Mohammed Nor
Tanjong Malim, 1 Oktober 2026 – Institut Peradaban Melayu (IPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini menerima kunjungan pelawat sempena penganjuran Global Mental Health Symposium MINDNOVA 2026 yang dianjurkan oleh Pusat Kaunseling UPSI.
Program yang berlangsung pada 1 Oktober 2026 bertemakan “Innovating Mental Health: Bridging Science, Technology, and Human Connection” turut membuka ruang kepada para peserta dan pelawat untuk mengenali warisan serta sejarah perkembangan pendidikan di Malaysia melalui kunjungan ke Muzium Pendidikan Nasional.
Lawatan ke Muzium Pendidikan Nasional dilaksanakan secara berperingkat melibatkan pelajar daripada beberapa buah sekolah dan institusi pendidikan, iaitu Sekolah Kebangsaan Slim River (SK Slim River) Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Maahad Hamidiah (SMKA Maahad Hamidiah) Sekolah Kebangsaan Behrang (SK Behrang) Sekolah Menengah Kebangsaan Khir Johari, Tanjong Malim Sekolah Menengah Kebangsaan Proton City, Tanjong Malim Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist, Tanjong Malim Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9, Shah Alam Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Salak Tinggi Kolej Vokasional Slim River dan Kolej Vokasional Sepang.
Lawatan ini memberi peluang kepada para pelajar untuk meneroka galeri dan pameran yang memaparkan sejarah perkembangan pendidikan negara, termasuk Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) serta pelbagai koleksi dan bahan interpretasi berkaitan sejarah pendidikan dan tokoh-tokoh pendidikan negara.
Selain kunjungan pelajar, MPN turut menerima kunjungan daripada wakil NGO, Soka Gakkai, En. David, bersama jurugambar yang hadir bagi meninjau dan mendokumentasikan pengalaman lawatan di Muzium Pendidikan Nasional.
Kunjungan tersebut turut memberi peluang kepada para pelawat untuk melihat dengan lebih dekat pameran sejarah pendidikan serta mengenali peranan muzium sebagai sebuah institusi pemeliharaan, penyelidikan, pendidikan dan penyebaran ilmu berkaitan warisan pendidikan negara.
Pelaksanaan lawatan secara berperingkat ini bukan sahaja menyokong pengisian program MINDNOVA 2026, malah memperkukuh fungsi Muzium Pendidikan Nasional sebagai ruang pembelajaran yang menghubungkan pelawat dengan sejarah, warisan dan perkembangan pendidikan negara.



Melalui pendekatan pembelajaran berasaskan muzium, para pelajar berpeluang memperoleh pengalaman secara langsung menerusi bahan pameran, fotografi sejarah, artifak dan naratif yang dipersembahkan di galeri. Pengalaman ini diharapkan dapat meningkatkan apresiasi generasi muda terhadap sejarah pendidikan serta sumbangannya kepada pembentukan masyarakat dan negara.
“Muzium bukan sekadar tempat menyimpan sejarah, tetapi ruang untuk generasi hari ini memahami perjalanan masa lalu dan membina masa hadapan.”
Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada Cik Nur Syahirah Hanim binti Zulkifly, Pegawai Tadbir, atau Puan Adi Ratna binti Mohammed Nor, Penolong Kurator di talian 05- 450 5303.
Pihak IPM/MPN amat mengalu-alukan kunjungan dan kerjasama daripada institusi, agensi, sekolah serta masyarakat dalam usaha memperkasa apresiasi terhadap sejarah, warisan dan perkembangan pendidikan negara.
