Oleh: Adi Ratna Mohammed Nor
Tanjong Malim, 1 Oktober 2026 – Institut Peradaban Melayu (IPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerima kunjungan rombongan pelawat dari SMK Salak Selatan, Sepang bagi lawatan pendidikan ke Galeri Sejarah Sekolah Kebangsaan Tanjong Malim (SKTM) yang bertempat di Bangunan IPM.
Lawatan ini memberi peluang kepada para pelawat untuk mengenali dengan lebih dekat sejarah pendidikan awal dan perkembangan institusi pendidikan di Tanjong Malim, khususnya sejarah Sekolah Kebangsaan Tanjong Malim (SKTM) yang mempunyai kaitan erat dengan sejarah Sultan Idris Training College (SITC).
Bangunan SKTM pada asalnya dikenali sebagai Sekolah Latihan SITC dan dibuka pada tahun 1930 di bawah pimpinan Cikgu Lembang. Sekolah ini berperanan sebagai tempat latihan mengajar kepada penuntut-penuntut SITC sebelum mereka ditempatkan untuk berkhidmat sebagai guru di sekolah-sekolah di seluruh negara.
Bangunan sekolah yang diperbuat daripada kayu ini kemudiannya dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Tanjong Malim (SKTM). Pada tahun 1989, SKTM berpindah ke bangunan baharu di Jalan Ketoyong, manakala bangunan lama dikekalkan sebagai salah satu warisan sejarah pendidikan di Tanjong Malim dan kini diambil alih oleh UPSI.
Galeri Sejarah SKTM berperanan sebagai ruang pemeliharaan, pendokumentasian dan perkongsian sejarah pendidikan berkaitan SKTM melalui paparan artifak, rekod, fotografi dan bahan dokumentasi sejarah.
Pameran ini turut mengetengahkan hubungan sejarah SKTM–SITC–MPSI–IPSI–UPSI, sekali gus memperlihatkan kesinambungan perkembangan pendidikan keguruan di Malaysia.
Bangunan SKTM juga merupakan salah satu lokasi dalam Laluan Warisan Sejarah UPSI, yang menghimpunkan lokasi-lokasi bersejarah di sekitar Kampus Sultan Abdul Jalil Shah.
Lawatan seperti ini bukan sahaja memberikan pengalaman pembelajaran secara langsung kepada pelawat, malah membuka ruang untuk generasi muda memahami kepentingan sejarah, warisan pendidikan, pemeliharaan bangunan bersejarah dan dokumentasi artifak.
IPM sendiri merupakan pusat pengkajian, pemuliharaan dan promosi tamadun Melayu yang kini beroperasi di bangunan nostalgia SKTM, serta berperanan sebagai hab penyelidikan, pameran dan aktiviti kebudayaan.
Lawatan memberi peluang kepada para pelawat menelusuri sejarah SKTM serta memahami kepentingannya dalam perkembangan pendidikan dan latihan keguruan di Tanah Melayu.

Sebarang permohonan bagi tujuan lawatan, kunjungan rasmi atau program pendidikan ke Muzium Pendidikan Nasional (MPN), Institut Peradaban Melayu (IPM), boleh dikemukakan melalui e-mel kepada Pengarah IPM di alamat Pengarah@IPM.upsi.edu.my.
Untuk pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada Cik Nur Syahirah Hanim binti Zulkifly, Pegawai Tadbir, atau Puan Adi Ratna binti Mohammed Nor, Penolong Kurator di talian 05- 450 5303.
Pihak IPM/MPN amat mengalu-alukan kunjungan dan kerjasama daripada institusi, agensi, sekolah serta masyarakat dalam usaha memperkasa apresiasi terhadap sejarah, warisan dan perkembangan pendidikan negara.

