Oleh: Adi Ratna Mohammed Nor
Jelebu, Negeri Sembilan | 29 September 2026 – Pusat Alumni Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bersama Institut Peradaban Melayu (IPM), telah mengadakan kunjungan ziarah kasih ke kediaman Encik Idris bin Daud yang kini berumur 100 tahun, merupakan alumni Sultan Idris Training College (SITC).
Kunjungan yang dilaksanakan sempena Program Ziarah Kasih di ketuai oleh Pengarah Pusat Alumni UPSI Dr. Omar Firdaus bin Mohd Said ke Jelebu ini turut menjadi ruang untuk pihak IPM menelusuri sejarah dan legasi alumni pendidikan terdahulu serta mengenal pasti bahan-bahan yang mempunyai nilai sejarah dan warisan pendidikan. Pusat Alumni UPSI turut menjemput beliau dan keluarga untuk menyertai Majlis Alumni Back to Campus 2026 yang akan diadakan pada 10 Oktober 2026.
Program kemudiannya diakhiri dengan sesi bergambar bersama warga Pusat Alumni UPSI dan warga Institut Peradaban Melayu (IPM) sebagai kenang-kenangan kunjungan serta simbolik jalinan kerjasama dalam usaha memelihara dan mendokumentasikan warisan alumni serta sejarah pendidikan.
Antara bahan bersejarah yang diperlihatkan ialah sijil kelayakan perguruan Sultan Idris Training College bertarikh 1949 atas nama Idris bin Daud, Negeri Sembilan.
Berdasarkan sijil tersebut, beliau telah menduduki peperiksaan akhir di Sultan Idris Training College for Malay Teachers pada Jun 1949 dan memperoleh First Class Certificate with Distinctions in Mathematics, Writing & Drawing, Handicraft serta didaftarkan sebagai guru Melayu yang berkelayakan. Beliau juga perupakan rakan sekelas bersama Tun Datuk Seri Utama Abdul Ghafar bin Baba, bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang ke-6.
Selain sijil tersebut, pihak IPM turut berpeluang melihat buku dan catatan lama, bahan dokumentasi serta foto-foto sejarah yang berkaitan dengan perjalanan kehidupan dan pendidikan alumni.
Kunjungan ini membuka ruang kerjasama antara Pusat Alumni UPSI dan IPM dalam usaha mengenal pasti, mendokumentasikan serta memelihara bahan-bahan warisan alumni yang berpotensi untuk dijadikan koleksi Muzium Pendidikan Nasional. Bahan tersebut dapat menyumbang kepada penghayatan sejarah perkembangan pendidikan dan legasi SITC kepada generasi akan datang.



Program ini turut memperlihatkan komitmen bersama dalam memelihara khazanah sejarah pendidikan, memperkukuh hubungan dengan alumni serta memastikan warisan pendidikan terdahulu terus didokumentasikan dan dihargai.
Sebarang permohonan bagi tujuan lawatan, kunjungan rasmi atau program pendidikan ke Muzium Pendidikan Nasional (MPN), Institut Peradaban Melayu (IPM), boleh dikemukakan melalui e-mel kepada Pengarah IPM di alamat Pengarah@IPM.upsi.edu.my.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada Cik Nur Syahirah Hanim binti Zulkifly, Pegawai Tadbir, atau Puan Adi Ratna binti Mohammed Nor, Penolong Kurator di talian 05- 450 5303.
Pihak IPM/MPN amat mengalu-alukan kunjungan dan kerjasama daripada institusi, agensi, sekolah serta masyarakat dalam usaha memperkasa apresiasi terhadap sejarah, warisan dan perkembangan pendidikan negara.

