TANJONG MALIM, 17 Oktober 2026 – Pusat Kokurikulum, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan Bengkel Pedagogi dan Pentaksiran Kursus Kokurikulum Berkredit yang menghimpunkan 33 orang tenaga pengajar di Dewan Kuliah Pusat 12 (DKP12), Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS), UPSI.
Bengkel ini bertujuan memperkukuh pengetahuan dan kemahiran pedagogi serta pentaksiran tenaga pengajar, di samping menyelaraskan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) kursus kokurikulum berkredit agar lebih sistematik dan berfokus kepada hasil pembelajaran.
Bengkel ini merangkumi tiga sesi utama, iaitu Reka Bentuk Tugasan Pembelajaran Kursus Kokurikulum Berkredit yang disampaikan oleh Profesor Madya Dr. Hafizul Fahri bin Hanafi; Reka Bentuk Tugasan Mengikut Komponen Kokurikulum yang dikendalikan oleh Dr. Romarzila binti Omar melalui aktiviti berkumpulan; serta Pembinaan Rubrik Pentaksiran Domain Afektif dan Psikomotor yang disampaikan oleh Profesor Madya Dr. Mohd Razimi bin Husin.
Antara perkara yang diberikan penekanan termasuklah pembangunan tugasan yang selari dengan hasil pembelajaran kursus, reka bentuk tugasan mengikut komponen Persatuan, Seni dan Kebudayaan, Permainan dan Rekreasi serta Badan Beruniform. Di samping itu pembinaan rubrik pentaksiran juga ditekankan bagi menilai aspek sikap, kepimpinan, kerjasama dan kemahiran praktikal pelajar.



Menurut En. Saiful Aliff Ahmad Nazli, salah seorang tenaga pengajar yang menyertai bengkel tersebut berkata bengkel ini memberikan pendedahan yang bermanfaat dalam memperkemas kaedah penyediaan tugasan dan pentaksiran kursus kokurikulum berkredit. Perkongsian ilmu dan panduan yang diberikan juga membantu tenaga pengajar untuk memahami kepentingan merancang tugasan serta membangunkan rubrik pentaksiran yang lebih jelas, sistematik dan bersesuaian dengan hasil pembelajaran kursus.
Penganjuran bengkel ini diharapkan dapat meningkatkan kompetensi tenaga pengajar dalam merancang tugasan dan membangunkan instrumen pentaksiran yang berkualiti, sekali gus menyokong pelaksanaan kursus kokurikulum berkredit yang lebih terancang dan berkesan ke arah pembangunan holistik mahasiswa UPSI.
