Oleh MOHAMAD HAIQAL HAQIMI PAWZI

TANJUNG MALIM: Seramai 22 mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berpeluang mengasah bakat dan kemahiran dalam pengurusan acara sukan elektronik (e-sukan) menerusi Kejohanan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) 2026 yang berlangsung di Kompleks Sukan Proton pada 18 Oktober lalu.

Kejohanan anjuran Kesatuan Pekerja-Pekerja Perusahaan Otomobil Nasional Sdn. Bhd. (PONSB) dengan kerjasama UPSI Esports Club (UEC) itu merupakan penganjuran edisi ketiga yang menghimpunkan pasukan-pasukan terdiri daripada pekerja syarikat automotif nasional, PROTON.

Program berkenaan dirasmikan oleh Ketua Pegawai Sumber Manusia PONSB Dr. Kasuma Satria bin Mat Jadi dan turut dihadiri Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja PONSB, Mohd Azmi bin Abu Bakar serta dua penasihat UEC, Dr. Chan Siang Jack dan Ts. Eimiza Faisha bin Azmi.

Kejohanan tersebut menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM2,700, dengan pasukan yang muncul juara membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000.

Menariknya, penglibatan 22 mahasiswa yang merupakan ahli UEC bukan sebagai peserta pertandingan, sebaliknya bertindak sebagai petugas yang membantu mengendalikan pelbagai aspek penganjuran termasuk pengurusan teknikal, pengendalian pertandingan, pengulas perlawanan atau caster serta operasi acara.

Penyertaan mahasiswa dalam pengurusan kejohanan itu menjadi platform pembelajaran berasaskan pengalaman sebenar, sekali gus memberikan pendedahan langsung kepada keperluan industri pengurusan acara e-sukan yang semakin berkembang.

Penasihat Kedua UEC, Ts. Eimiza Faisha bin Azmi berkata, kerjasama berterusan antara Kesatuan Pekerja-Pekerja PONSB dan UEC membuka peluang bermakna kepada mahasiswa untuk mengaplikasikan pengetahuan serta kemahiran mereka di luar persekitaran kampus.

“Penglibatan mahasiswa dalam kejohanan ini bukan sekadar membantu menjayakan sesuatu program, tetapi memberi peluang kepada mereka merasai sendiri pengalaman menguruskan acara sebenar yang memerlukan kemahiran teknikal, komunikasi, kepimpinan dan kerjasama berpasukan.

“Pengalaman seperti ini amat penting kerana industri e-sukan bukan hanya tertumpu kepada pemain profesional, sebaliknya turut menawarkan pelbagai peluang dalam bidang pengurusan acara, penyiaran digital, pengacaraan, pengulasan pertandingan dan pengurusan teknikal,” katanya.

Menurut beliau, kepercayaan yang diberikan oleh pihak Kesatuan Pekerja-Pekerja PONSB kepada UEC untuk terlibat dalam penganjuran kejohanan buat kali ketiga membuktikan potensi kelab pelajar sebagai rakan kerjasama industri.

“Kita mahu mahasiswa melihat e-sukan daripada perspektif yang lebih luas. Di sebalik sesuatu kejohanan, terdapat pelbagai aspek pengurusan dan kepakaran yang diperlukan bagi memastikan acara berjalan lancar.

“Kerjasama seperti ini juga merupakan peluang terbaik untuk membina keyakinan diri, meningkatkan kemahiran insaniah serta menyediakan mahasiswa dengan pengalaman praktikal yang boleh dimanfaatkan apabila memasuki alam pekerjaan kelak,” katanya.

Dalam masa sama, kejohanan berkenaan turut menjadi medium mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan pekerja PONSB, selain memupuk semangat kesukanan, komunikasi dan kerjasama berpasukan menerusi pertandingan e-sukan.

Kesinambungan penganjuran kejohanan yang memasuki edisi ketiga itu turut memperlihatkan komitmen kedua-dua pihak dalam menjadikan e-sukan sebagai platform pembangunan komuniti dan bakat generasi muda.

Kerjasama strategik antara Kesatuan Pekerja-Pekerja PONSB dan UEC diharapkan dapat terus diperkukuh bagi membuka lebih banyak peluang kepada mahasiswa UPSI memperoleh pengalaman industri, khususnya dalam bidang pengurusan acara dan teknologi e-sukan.