Barisan ahli jawatankuasa program dari AKAR bergambar kenangan bersama delegasi AltSPU.Barisan ahli jawatankuasa program dari AKAR bergambar kenangan bersama delegasi AltSPU.

Oleh: Nik Nur Athirah Nik Mohd Arif

TANJONG MALIM, 8 Okt 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Altai State Pedagogical University (AltSPU), Rusia, melabuhkan tirainya dengan penuh meriah menerusi majlis “Closing Ceremony and Gala Concert: О России” yang berlangsung di Auditorium Utama, UPSI.

Majlis yang berlangsung dari jam 11.00 pagi hingga 12.30 tengah hari itu dianjurkan oleh Akademi Bahasa Antarabangsa (AKAR), Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), UPSI. Program tersebut menghimpunkan pelajar universiti, murid-murid Sekolah Rendah Seri Budiman (SRSB) serta delegasi Rusia dalam satu platform interaksi silang budaya yang menggabungkan elemen bahasa, seni dan persembahan kebudayaan.

Majlis dikendalikan oleh dua wakil AltSPU, iaitu Dr. Alexander Seleznev dan Dr. Anna Zabrodina, kedua-duanya Pensyarah Kanan AltSPU, yang bertindak sebagai pengacara majlis. Kehadiran kedua-dua wakil Rusia ini turut menyemarakkan suasana melalui pengendalian majlis yang interaktif dan mesra peserta.

Majlis dimulakan dengan ucapan daripada ketua delegasi Rusia, Prof. Alexandra Semkina, diikuti oleh Pengarah AKAR Profesor Madya Dr. Mazlin Mohamed Mokhtar. Kedua-dua ucapan tersebut menjadi pembuka tirai kepada acara kemuncak yang mencerminkan hubungan kerjasama akademik dan kebudayaan antara kedua-dua institusi.

Antara pengisian utama program ialah perkongsian mengenai rangkaian Centres for Open Education (COE), inisiatif Yayasan My History serta pelaksanaan aktiviti COE di Malaysia sepanjang tahun 2025 dan 2026.

Suasana majlis bertambah meriah dengan aktiviti pembelajaran bahasa Rusia secara interaktif yang memberi peluang kepada para peserta mengenali kosa kata Baharu dan mempraktikkan sebutan yang betul.

Melalui pendekatan pembelajaran yang santai dan menyeronokkan, para peserta bukan sahaja didedahkan kepada keunikan bahasa Rusia, malah berpeluang berinteraksi secara langsung dengan delegasi Rusia.

Aktiviti ini turut menyemarakkan keterujaan peserta di samping memupuk minat terhadap pembelajaran bahasa asing dan pemahaman silang budaya.

Kemuncak majlis diserikan dengan persembahan konsert gala yang menampilkan gabungan persembahan puisi, nyanyian dan tarian oleh murid-murid Sekolah Rendah Seri Budiman dan pelajar universiti.

Antara persembahan yang mencuri perhatian ialah deklamasi puisi dalam bahasa Rusia oleh murid-murid Sekolah Rendah Seri Budiman.

Keberanian dan kesungguhan murid-murid tersebut mendeklamasikan puisi dalam bahasa asing memperlihatkan bahawa pembelajaran bahasa dan penghayatan budaya mampu dipupuk sejak peringkat pendidikan rendah.

Persembahan seni dan kebudayaan yang diketengahkan sepanjang konsert gala turut memperlihatkan kepelbagaian pendekatan dalam memperkenalkan bahasa Rusia melalui ekspresi kreatif, sekali gus mewujudkan pengalaman pembelajaran yang lebih bermakna kepada para peserta.

Kemeriahan acara turut dilengkapkan dengan cabutan bertuah “My Gift from Russia”, yang menawarkan pelbagai hadiah kepada para peserta.

Selain itu, ruang bergambar yang dihiasi dengan elemen kebudayaan Rusia serta pameran lukisan dan hasil kraf tangan turut disediakan bagi membolehkan pengunjung mengabadikan kenangan sepanjang program.

Para peserta juga berpeluang menikmati kudapan tradisional Rusia menerusi aktiviti “Sweet Russia”, yang menambahkan lagi pengalaman silang budaya melalui pengenalan kepada makanan tradisional negara tersebut.

Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil penghargaan kepada para peserta serta barisan ahli jawatankuasa dari AKAR sebagai pengiktirafan atas komitmen dan sumbangan mereka dalam menjayakan program.

Sesi penghargaan ini turut meraikan semangat kerjasama, dedikasi dan penglibatan aktif semua pihak sepanjang pelaksanaan pelbagai aktiviti yang mengetengahkan sejarah, bahasa dan kebudayaan Rusia.

Penganjuran majlis penutupan dan konsert gala ini bukan sekadar meraikan kejayaan pelaksanaan aktiviti sepanjang program, malah menjadi wadah memperkukuh hubungan antara masyarakat Malaysia dengan Rusia melalui perkongsian bahasa, seni, pendidikan dan kebudayaan.

Semua peserta bergambar kenangan bersama delegasi AltSPU.
Penyerahan sijil penghargaan untuk ahli jawatankuasa program.
Salah seorang peserta menerima cabutan bertuah “My Gift from Russia”.

Sebelum melabuhkan tirai, para peserta, murid-murid SRSB, wakil UPSI dan delegasi AltSPU merakamkan gambar kenangan bersama sebagai simbol persahabatan dan hubungan erat yang terjalin sepanjang penganjuran program.

Program ini merupakan sebahagian daripada Program Rusia–Malaysia yang berlangsung dari 4 hingga 24 Oktober 2026, hasil kerjasama UPSI dan AltSPU dalam memperkukuh jaringan akademik serta memupuk kefahaman silang budaya. Penganjurannya turut mencerminkan komitmen UPSI dalam memperluas pengalaman pendidikan berwawasan global melalui penglibatan aktif pelajar, komuniti sekolah dan rakan strategik antarabangsa.

Lebih daripada sekadar sebuah majlis penutupan, “Closing Ceremony and Gala Concert: О России” meninggalkan kenangan bermakna serta membuka ruang kepada hubungan persahabatan, pertukaran ilmu dan persefahaman budaya yang berterusan antara Malaysia dengan Rusia.