Delegasi AltSPU bersama peserta merakamkan gambar kenangan.Delegasi AltSPU bersama peserta merakamkan gambar kenangan.

Oleh: Nur Dahliah Dalin

TANJONG MALIM, 7 Oktober 2026 – Peluang mempelajari abjad, mencuba tarian serta mengenali seni dan permainan tradisional Rusia memberi pengalaman baharu kepada mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi program “Russian Language and Traditions: Learn, Dance, Create” yang berlangsung di Auditorium Utama, UPSI.

Program yang bermula pada pukul 4.30 petang itu dikendalikan oleh delegasi Altai State Pedagogical University (AltSPU) dari Rusia dan menampilkan lima stesen interaktif, iaitu “The Sun in Your Hands”, “The Mystery of Magical Circles”, “Russian Rhythms”, “Fun & Play” dan “Russian ABC”, dengan setiap stesen mengetengahkan pengalaman pembelajaran yang berbeza kepada mahasiswa.

Sepanjang program, peserta mengikuti aktiviti di setiap stesen secara bergilir sambil berinteraksi secara langsung dengan delegasi AltSPU. Pendekatan berasaskan pengalaman itu membolehkan mereka mengenali bahasa dan budaya Rusia melalui penyertaan aktif, sekali gus menjadikan proses pembelajaran lebih santai dan menarik.  

Aneka hidangan tradisional Rusia diperkenalkan kepada peserta.
Peserta membentuk bulatan bersama dalam aktiviti “The Mystery of Magical Circles”.


Mahasiswa mempelajari abjad Cyrillic di stesen “Russian ABC”.

Pengisian yang diketengahkan termasuk penghasilan kraf bercirikan Rusia, pengenalan kepada abjad Cyrillic, tarian rakyat dan nyanyian. Aktiviti tersebut memberi peluang kepada peserta melihat sendiri bagaimana unsur bahasa, seni dan tradisi menjadi sebahagian daripada identiti masyarakat Rusia. Pengalaman berbeza pula diperoleh menerusi stesen “Russian ABC” apabila mahasiswa berpeluang mencuba sendiri menulis aksara Cyrillic. Kemeriahan jelas terasa apabila alunan muzik Rusia mengiringi gerakan tarian mahasiswa di stesen “Russian Rhythms”.

Penganjuran program ini sekali gus menjadi wadah pembelajaran silang budaya yang memperluas perspektif mahasiswa terhadap kepelbagaian budaya antarabangsa, di samping memperkukuh hubungan pendidikan dan kebudayaan antara Malaysia dan Rusia.