oleh: Nur Qistina Norhan

TANJONG MALIM, 17 Oktober 2026 – Bagi menggalakkan penglibatan aktiviti semua mahasiswi Kolej Harun Aminurrashid, program Beat N Burn “Ladies Fitness Night” telah dianjurkan sebagai salah satu inisiatif untuk menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan pelajar.

Bertemakan kecergasan dan keseronokan, program ini menghimpunkan para mahasiswi untuk bersama-sama menyertai aktiviti senaman zumba dalam suasana yang meriah dan bertenaga.

Program Beat N Burn “Ladies Fitness Night” ini dianjurkan oleh Exco Kediaman Blok 1 yang merupakan barisan Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (MMKHAR). Penganjuran program ini dilaksanakan bagi menggalakkan penglibatan semua mahasiswi dalam aktiviti riadah serta memupuk kesedaran tentang kepentingan menjaga kesihatan fizikal dan mental.

Sambutan luar biasa diterima apabila Dewan Harun Aminurrashid dibanjiri lebih 300 mahasiswi yang hadir untuk menyertai serta memeriahkan program ini. Ini memberi peluang kepada peserta untuk meningkatkan fleksibiliti diri sekaligus menggalakkan interaksi sosial antara peserta.

Felo Blok Kediaman 1, Cik Ainnur Shazleen Aqilla binti Sha’azman berharap agar program Beat N Burn “Ladies Fitness Night” dapat memupuk kesedaran tentang kepentingan menjaga kesihatan dan mengamalkan gaya hidup aktif dalam kalangan mahasiswi.

“Tahniah kepada semua mahasiswi kerana berjaya mengambil kesempatan untuk keluar beriadah dan meluangkan masa untuk aktiviti kecergasan walaupun sibuk dengan komitmen akademik masing-masing” ucapnya sebelum menyempurnakan perasmian program tersebut.

Bagi meneruskan agenda program ini, seramai tujuh orang Ahli Jawatankuasa Pelaksana telah mengambil inisiatif untuk mengetuai slot aerobik untuk memastikan aktiviti berlangsung dengan lancar dan teratur. Mereka bertanggungjawab memberikan arahan serta menunjukkan demonstrasi pergerakan kepada peserta bagi mewujudkan suasana yang aktif dan menyeronokkan.

Program Beat N Burn “Ladies Fitness Night” merupakan platform untuk menggalakkan gaya hidup sihat serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan mahasiswi Kolej Harun Aminurrashid (KHAR).

Melalui gabungan muzik yang bertenaga dan gerakan zumba yang kreatif dan menyeronokkan, program ini diharapkan dapat membantu peserta meningkatkan kecergasan jasmani disamping membantu mengurangkan tekanan dan membina keyakinan diri.

Program ini diharap. menjadi pemangkin kepada pembentukan semua mahasiswi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang aktif serta memiliki keseimbangan dari segi fizikal, mental dan sosial.