Oleh: Tuan Nur Afizah Tan Besar
Kolej Harun Aminurrashid, 19 Oktober 2026 – Pasukan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Mualim telah menjalankan pemeriksaan di sekitar kawasan Kolej Harun Aminurrashid (KHAR), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), pada hari ini sebagai sebahagian daripada usaha memastikan persekitaran kolej berada dalam keadaan baik dan terjaga.
Pemeriksaan tersebut melibatkan lawatan ke rumah-rumah penghuni di setiap blok kolej. Bagi melancarkan pelaksanaan pemeriksaan, pasukan PKD telah dibahagikan kepada tiga kumpulan untuk menjalankan pemeriksaan secara menyeluruh di kawasan yang terlibat.


Pelaksanaan pemeriksaan ini turut mendapat kerjasama daripada Ketua Blok (KB) dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Blok yang membantu serta mengiringi pasukan PKD sepanjang pemeriksaan dijalankan.
Kerjasama semua pihak mencerminkan komitmen warga KHAR dalam menyokong usaha penjagaan persekitaran kolej serta memupuk sikap bertanggungjawab dalam kalangan penghuni.
Pihak kolej merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pasukan PKD, Ketua Blok dan AJK Blok atas kerjasama serta komitmen yang diberikan bagi memastikan urusan pemeriksaan berjalan dengan lancar.
Usaha seumpama ini diharapkan dapat terus memperkukuh kerjasama antara pihak berkaitan dan warga kolej dalam mewujudkan persekitaran kediaman yang selesa, bersih dan kondusif untuk seluruh penghuni.
