Disediakan oleh: SYARIFAH AIDA AMIRSH SYED LIZAM SUKAIRI

TANJUNG MALIM, 18 OKTOBER 2026 – Majlis Mahasiswa Kolej Awang Had Salleh (MMKAHS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan Humanity Impact Series (HIS) 1.0: Campus to Community – Students in Service secara dalam talian pada 18 Oktober 2026, dari jam 8.00 malam hingga 11.00 malam waktu Malaysia.

Webinar antarabangsa ini bertujuan meningkatkan kesedaran mahasiswa tentang kepentingan kesukarelawanan, nilai kemanusiaan serta peranan golongan mahasiswa dalam memberikan sumbangan kepada masyarakat.

Program ini turut menjadi platform perkongsian ilmu dan pengalaman yang menghubungkan mahasiswa daripada pelbagai institusi pengajian tinggi di dalam dan luar negara.

Penganjuran HIS 1.0 berjaya menarik penyertaan yang mencecah 2,000 orang daripada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Malaysia serta peserta antarabangsa dari negara seperti Indonesia, China dan United Kingdom.

Penyertaan yang meluas ini mencerminkan minat dan kesedaran mahasiswa terhadap kepentingan kesukarelawanan serta usaha memperkukuh nilai kemanusiaan dalam kalangan generasi muda.

Webinar ini menampilkan dua orang panel jemputan, iaitu Dato’ Dr. Ahmad Sani Araby menerusi sesi Volunteer Stories: From Experience to Impact dan Dr. Makmur Ibnu Harun menerusi sesi The Heart of Volunteerism: Why Do We Serve?

Perkongsian yang disampaikan merangkumi pengalaman dalam aktiviti kesukarelawanan, cabaran yang dihadapi, kepimpinan, motivasi dalaman serta kepentingan keikhlasan dan tanggungjawab sosial dalam membantu komuniti.

Sesi ini turut membuka ruang kepada peserta untuk memahami bahawa sumbangan kepada masyarakat boleh dilaksanakan melalui pelbagai bentuk usaha yang bersesuaian dengan kemampuan dan peranan masing-masing.

Dr. Makmur Harun, M. Let. dari School of Languages, Civilisation and Philosophy (SLCP), UUM, menerusi slot “The Heart of Volunteerism: Why Do We Serve?” menekankan bahawa kesukarelawanan bermula daripada keikhlasan hati dan keprihatinan terhadap orang lain. Beliau mengajak mahasiswa memahami bahawa khidmat sukarelawan bukan sekadar memberi bantuan, tetapi membina empati, kepimpinan dan tanggungjawab sosial.

Dato’ Dr. Ahmad Sani Araby Al-Kahery, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Malaysia, menyampaikan slot “Volunteer Stories: From Experience to Impact”
Dr. Makmur Harun, M. Let, dari School of Languages, Civilisation and Philosophy (SLCP), College of Arts and Sciences (CAS), Universiti Utara Malaysia (UUM), Malaysia, menyampaikan slot “The Heart of Volunteerism: Why Do We Serve?”
Barisan Ahli Jawatankuasa Sepanjang Program Berlangsung


Perkongsian turut menekankan kepentingan memahami tujuan di sebalik setiap tindakan sukarelawan agar sumbangan yang diberikan benar-benar memberi makna.
Sesi ini membuka perspektif baharu kepada peserta tentang nilai kemanusiaan dan peranan mahasiswa dalam menyumbang kepada masyarakat.

Sepanjang pelaksanaan, beberapa cabaran berjaya ditangani melalui penyelarasan dan kerjasama erat urus setia, sekali gus memastikan webinar berlangsung dengan lancar.

Pengalaman ini menjadi pembelajaran bermakna dalam aspek pengurusan program, komunikasi dan penyelesaian masalah.

Program diakhiri dengan sesi makan bersama, menandakan tirai HIS 1.0 yang menghimpunkan peserta dalam dan luar negara melalui perkongsian ilmu berkaitan kesukarelawanan dan kemanusiaan.

Secara keseluruhannya, HIS 1.0 diharapkan dapat menyemarakkan semangat kesukarelawanan, memperkukuh nilai kemanusiaan serta mendorong mahasiswa untuk terus mencipta impak positif kepada masyarakat.