Oleh: Nurfatin Syazwani Halimi

TANJONG MALIM – Program webinar bertaraf antarabangsa, Future Innovator: Global  STEM and Innovation (FI-STEM 1.0) yang dianjurkan oleh Majlis Mahasiswa Kolej Awang  Had Salleh (KAHS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi Sidang 2026/2027 telah  mencatatkan kejayaan cemerlang apabila berjaya menarik seramai 2,028 orang peserta secara  keseluruhan. 

Program yang berlangsung secara dalam talian menerusi platform Google Meet dan siaran  langsung Facebook Live pada 17 Oktober 2026 (Sabtu) bermula jam 8:00 malam hingga 11:00  malam ini menampilkan kelainan berimpak tinggi dengan menerima penyertaan merentas  sempadan dari United Kingdom (UK), China, Thailand, dan Malaysia. 

Berteraskan tema pemerkasaan minda melalui STEM bagi membentuk masa depan MADANI  yang mampan, program ini menghimpunkan mahasiswa, ahli akademik, penyelidik, serta  profesional industri dari pelbagai negara iaitu Malaysia, Thailand dan Nigeria untuk berkongsi  kepakaran dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) sejajar  dengan era Revolusi Industri 4.0. 

Daripada jumlah keseluruhan 2,028 peserta, sambutan hebat turut dirasai menerusi platform  digital apabila seramai 400 peserta menyertai dan mengikuti sesi pembelajaran ini secara  langsung menerusi Facebook Live Kolej Awang Had Salleh. 

Kehadiran peserta secara menyeluruh ini membuktikan keterbukaan serta impak program  dalam memperkasakan agenda pengantarabangsaan universiti.

Selain warga UPSI, program ini  turut disokong oleh seramai 40 orang mahasiswa dari institusi pengajian tinggi awam (IPTA)  tempatan seperti Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Kebangsaan Malaysia  (UKM), dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Penganjuran ini turut menarik penyertaan  seramai 4 orang pelajar antarabangsa yang mewakili empat buah negara iaitu United Kingdom  (UK), China, Thailand, dan Malaysia.

Di samping itu, penglibatan seramai 30 orang peserta daripada komuniti awam serta 5 orang pelajar sekolah menengah turut memperlihatkan bahawa  kesedaran terhadap kepentingan STEM dan kecerdasan buatan (AI) kini meluas ke segenap  lapisan masyarakat.

Webinar ini menampilkan barisan panel jemputan antarabangsa yang berpengalaman luas: 

1. Associate Professor Dr. Abdul Halim bin Masnan (Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar  & Alumni, Fakulti Pembangunan Manusia, UPSI) membentangkan topik Innovation  Beyond Borders. 

2. Daniel Makinde (Pembangun Perisian dan Aplikasi Mudah Alih Kanan dari Nigeria)  berkongsi pandangan menerusi tajuk The Future of STEM in the Era of Artificial  Intelligence (AI). 

3. Teeraphol Ambhai (Pensyarah Jemputan & Calon Doktor Falsafah, University of the  Thai Chamber of Commerce – UTCC, Thailand) menyampaikan perkongsian bertajuk  Future Skills for Global STEM Leaders. 

Penganjuran FI-STEM 1.0 menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) PBB melalui  SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) untuk menyediakan akses pembelajaran sepanjang hayat  bersama pakar antarabangsa, SDG 8 (Pekerjaan Layak dan Pertumbuhan Ekonomi) bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan menerusi kemahiran global, SDG 9 (Industri, Inovasi  dan Infrastruktur) dalam memupuk budaya inovasi dan teknologi tinggi, serta SDG 17  (Perkongsian Untuk Mencapai Matlamat) untuk memperkukuh jaringan strategik  antarabangsa.

Menerusi penganjuran ini, para peserta bukan sahaja mendapat pendedahan secara langsung  mengenai teknologi hijau dan kecerdasan buatan (AI), malah berpeluang membina jaringan  profesional bertaraf global.

Pengarah Program, Nurfatin Syazwani binti Halimi, menzahirkan  rasa syukur atas kejayaan penganjuran ini dan berharap program seumpama ini dapat  diteruskan lagi pada masa akan datang bagi memperkasa modal insan yang berdaya saing  global.