Oleh: Ummi Nur Zulaikha
Tanjong Malim, 17 Oktober 2026 – Exco Blok Kediaman 3 yang dikenali juga sebagai blok Sakura telah menganjurkan program Jejak Rahsia Sakura bertempat di KHAR Central dan Dewan Harun Aminurrashid, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Program ini terbuka kepada penghuni kolej wanita KHAR dan mendapat sambutan yang memberangsangkan seramai 200 orang peserta daripada penghuni KHAR.
Objektif utama program ini adalah untuk mengeratkan hubungan perpaduan dan silaturahim dalam kalangan penghuni di samping memupuk semangat kerjasama, komunikasi dan persaingan sihat.
Antara pengisian program termasuklah aktiviti pencarian petunjuk rahsia, penyelesaian teka-teki dan cabaran berkumpulan yang menguji kebijaksanaan serta kreativiti peserta di setiap tujuh checkpoint. Melalui aktiviti ini, peserta perlu berfikir secara kritis dan kreatif dalam menganalisis petunjuk serta merungkai misteri.
Selain itu, program ini dapat meningkatkan keupayaan peserta menyelesaikan masalah melalui pemikiran logik, strategi dan kebijaksanaan dalam menghadapi cabaran.
Program ini dihadiri istimewa oleh Pengetua KHAR iaitu Dr. Hj. Che Anuar bin Che Abdullah. Kehadiran beliau menyerikan suasana dengan ucapan perasmian yang menekankan kepada penglibatan aktif penghuni dalam pelbagai program dapat meningkatkan kemahiran insaniah pelajar selain memberi ruang pada diri untuk menonjolkan bakat dan kemahiran masing-masing dalam acara yang dipertandingkan. Beliau menegaskan peranan mahasiswa/i UPSI selain mengejar pencapaian akademik iaitu membentuk diri dengan adab dan akhlak yang baik selain mematuhi peraturan-peraturan kolej dengan baik.
Selain itu, Felo Blok Kediaman 3 Sakura iaitu Puan Norrulkamari binti Daud selaku felo penasihat program juga hadir dalam memberi sokongan dan penglibatan yang baik sepanjang program ini berlangsung. Segala dorongan yang diberikan dalam merancang dan melancarkan program ini amat memberi makna kepada kejayaan program. Menurut ucapan penutup beliau, program Jejak Rahsia Sakura dapat menguji kebijaksanaan peserta melalui aktiviti yang mencabar minda selain mengasah kemahiran lain dalam diri penghuni KHAR. Beliau turut berharap agar program seperti ini dapat meningkatkan pemikiran kritis, kreativiti dan keyakinan mahasiswa serta mengeratkan hubungan antara penghuni kolej.
Sementara itu, Pengarah Program, Saudari Swetha a/p Nagappan, dalam ucapan aluannya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini terutamanya berisan Ahli Jawatankuasa (AJK) program. Beliau juga berharap agar para peserta dapat menikmati setiap aktiviti dan memperoleh pengalaman yang bermakna.
Program Jejak Rahsia Sakura berakhir dengan sesi penyampaian hadiah kepada para pemenang beserta sesi fotografi bersama-sama. Pemberian hadiah bukan sekadar sebagai penghargaan atas kemenangan, malah menjadi tanda kejayaan peserta dalam mengasah kemahiran berfikir, menyelesaikan cabaran serta mencipta kenangan bermakna sepanjang program berlangsung selain dapat memanfaatkan waktu cuti dengan aktiviti sihat sebegini.



Melalui maklum balas yang diberikan oleh para peserta, program ini telah mendapat sambutan yang baik menerusi aktiviti yang menarik serta mencabar minda. Penganjuran program ini turut memberikan impak positif kepada peserta, khususnya dalam mengasah pemikiran kritis, meningkatkan kemahiran menyelesaikan masalah serta memupuk kreativiti dalam merungkai setiap petunjuk dan cabaran yang diberikan.
Secara keseluruhannya, program Jejak Rahsia Sakura berjaya menyediakan ruang kepada penghuni untuk berinteraksi, bekerjasama dan mengembangkan kemahiran diri melalui aktiviti yang interaktif.
Penganjuran program ini diharapkan dapat terus memperkukuh hubungan silaturahim serta mewujudkan komuniti kolej kediaman yang harmoni dan bersatu padu.
