MELAKA, 15 Oktober 2026 – Seramai 21 orang alumni Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyertai program Kembara Santuni Alumni yang berlangsung di Bilik Kesidang, Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, Bukit Beruang, Melaka. Program anjuran Pusat Alumni UPSI ini bertujuan mengeratkan silaturahim, memperkukuh hubungan antara alumni dengan universiti serta menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan Anak Kandung Suluh Budiman.

Program ini turut menjadi platform pertemuan para alumni untuk bertukar pengalaman, berkongsi pandangan dan mendapatkan maklumat terkini berkaitan perkembangan universiti. Suasana mesra sepanjang program turut mencerminkan hubungan erat yang terus terpelihara antara alumni dengan alma mater mereka.

Dalam sesi perkongsian, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Profesor Dr. Norkhalid bin Salimin, menyampaikan aspirasi universiti dalam memperkukuh jaringan alumni sebagai sebahagian daripada keluarga besar UPSI. Beliau turut menekankan kepentingan peranan dan penglibatan alumni dalam menyokong pembangunan universiti serta menyumbang kepada komuniti melalui pelbagai program dan inisiatif yang dilaksanakan.

Sementara itu, Pengarah Pusat Alumni UPSI, Dr. Omar Firdaus bin Mohd Said, turut berkongsi mengenai peranan dan usaha Pusat Alumni dalam memastikan jaringan alumni terus diperkasa. Usaha ini diharap dapat menggalakkan penglibatan alumni dalam pelbagai aktiviti universiti, di samping membuka lebih banyak ruang kerjasama dan sumbangan kepada pembangunan UPSI.

Program ini turut memperkenalkan inisiatif baharu Pusat Alumni UPSI, iaitu Bas Alumni UPSI, yang dirancang sebagai medium untuk mendekati dan menyantuni alumni di pelbagai lokasi serta dapat memberi manfaat kepada pelajar-pelajar UPSI. Kemudahan ini bukan sahaja menyokong pelaksanaan program alumni, malah dapat membantu memperluas akses pelajar kepada aktiviti akademik, pembangunan sahsiah, kesukarelawanan, kebajikan dan jaringan industri.

Penganjuran Kembara Santuni Alumni di Melaka mencerminkan komitmen berterusan Pusat Alumni UPSI dalam memperkukuh hubungan dengan alumni di seluruh negara. Melalui inisiatif seumpama ini, UPSI berharap agar semangat kebersamaan dalam kalangan Anak Kandung Suluh Budiman terus diperkasakan, sekali gus menggalakkan penglibatan aktif alumni dalam menyokong aspirasi dan kecemerlangan universiti.