TANJUNG MALIM, 10 Oktober 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh hubungan dengan komuniti alumni menerusi penganjuran sesi Alumni Talk: Kopi dan Karier (yang mempertemukan alumni Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif (FSKIK) dengan mahasiswa dalam sesi perkongsian santai bagi berkongsi pengalaman, pengalaman kerjaya serta realiti dunia pekerjaan bersama mahasiswa.

Sesi ini dianjurkan bersempena dengan program Alumni Back to Campus yang dilaksanakan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), sekali gus menjadi ruang untuk mengeratkan kembali hubungan antara alumni dengan universiti serta membuka peluang kepada mahasiswa mendapatkan pendedahan kerjaya melalui pengalaman sebenar dalam bidang pendidikan.

Sesi perkongsian tersebut menampilkan dua orang alumni FSKIK yang mempunyai latar belakang kerjaya berbeza, iaitu seorang alumni Jabatan Seni dan Reka Bentuk (JSRB) yang kini berkhidmat sebagai pensyarah di Institut Pendidikan Guru (IPG) serta seorang alumni Jabatan Multimedia Kreatif (JMK) yang berkhidmat sebagai guru. Perkongsian mereka memberikan gambaran tentang laluan kerjaya dalam bidang pendidikan serta pengalaman mengaplikasikan ilmu dan kemahiran yang diperoleh sepanjang pengajian dalam dunia pekerjaan.

Melalui perkongsian secara santai ini, mahasiswa berpeluang memahami dengan lebih dekat cabaran dan pengalaman alam pekerjaan, di samping memperoleh inspirasi untuk mempersiapkan diri menghadapi alam kerjaya. Penglibatan alumni yang telah membina kerjaya dalam bidang masing-masing turut memperlihatkan kepentingan ilmu, kemahiran dan pengalaman yang diperoleh di universiti sebagai asas kepada pembangunan profesional.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Profesor Dr. Norkhalid bin Salimin, menekankan kepentingan hubungan berterusan antara universiti dengan alumni dalam menyokong pembangunan mahasiswa. Pengalaman dan pencapaian alumni boleh dijadikan sumber inspirasi serta panduan kepada mahasiswa untuk mengenal pasti peluang kerjaya, membina keyakinan diri dan mempersiapkan diri dengan keperluan dunia pekerjaan.

Sementara itu, Pengarah Pusat Alumni UPSI, Dr. Omar Firdaus, turut menekankan kepentingan penglibatan alumni dalam menyokong usaha universiti memperluas jaringan kerjasama dan perkongsian kepakaran. Program seumpama ini membuka ruang kepada alumni untuk terus menyumbang kepada universiti, bukan sahaja melalui perkongsian pengalaman, malah dengan menjadi penghubung antara mahasiswa, institusi pendidikan dan dunia pekerjaan.

Penganjuran Alumni Talk: Kopi dan Karier mencerminkan komitmen UPSI dalam memelihara hubungan dengan alumni serta memanfaatkan pengalaman mereka bagi menyokong pembangunan mahasiswa. Inisiatif ini diharap dapat diteruskan sebagai platform perkongsian ilmu dan pengalaman yang bermakna, selaras dengan semangat Anak Kandung Suluh Budiman dalam mengekalkan hubungan erat antara universiti dengan para alumninya.