KUALA LUMPUR, 10 Oktober 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh hubungan dengan komuniti alumni menerusi penyertaan 10 orang wakil Rakan Alumni Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam Majlis Peluncuran Program Alumni Back to Campus Peringkat Kebangsaan 2026 yang berlangsung di Dewan Tunku Canselor (DTC), Universiti Malaya (UM).

Delegasi tersebut turut diiringi oleh wakil Pusat Alumni UPSI, Puan Siti Salwa binti Ahmad Fadzil, sebagai tanda sokongan universiti terhadap inisiatif yang menghimpunkan wakil alumni daripada institusi pendidikan tinggi awam di seluruh negara.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi, dan dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi melalui Majlis Alumni Universiti Awam Malaysia (MALUMNI). Program ini turut melibatkan penyertaan daripada 20 Universiti Awam (UA) di seluruh negara, sekali gus mencerminkan komitmen bersama institusi pendidikan tinggi dalam memperkukuh hubungan dengan alumni.

Penyertaan ini turut menyerlahkan peranan alumni UPSI sebagai rakan strategik universiti yang berperanan dalam pembangunan mahasiswa melalui perkongsian kepakaran dan peluasan jaringan professional. Jaringan yang berterusan turut membuka peluang kepada pelbagai bentuk kerjasama yang dapat memberi manfaat kepada warga universiti dan masyarakat.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Profesor Dr. Norkhalid bin Salimin, menekankan kepentingan hubungan berterusan antara universiti dengan alumni dalam menyokong kecemerlangan institusi. Penglibatan alumni bukan sekadar mengekalkan hubungan dengan alma mater, malah berpotensi menyumbang idea, pengalaman dan kepakaran bagi membantu pembangunan generasi mahasiswa seterusnya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Alumni UPSI, Dr. Omar Firdaus, pula menggariskan kepentingan memperluas jaringan kerjasama alumni melalui penglibatan dalam program dan inisiatif bersama. Jaringan yang kukuh mampu membuka lebih banyak peluang kerjasama , berkongsi pengalaman serta menyokong pelbagai usaha pembangunan pendidikan tinggi.

Program yang bertemakan “Menggapai ke Langit, Mengakar ke Bumi” ini membawa mesej bahawa kejayaan alumni dan kecemerlangan universiti saling berkait. Pengalaman serta pencapaian alumni di luar kampus boleh menjadi sumber inspirasi kepada mahasiswa, di samping membantu memperluas peluang pembangunan bakat dan kebolehpasaran graduan.

Penyertaan UPSI menerusi Rakan Alumni KPT dalam program peringkat kebangsaan ini diharap dapat terus mengukuhkan hubungan antara universiti dengan alumni serta membuka ruang kepada kerjasama yang lebih luas. Usaha ini sejajar dengan semangat Anak Kandung Suluh Budiman yang menekankan kebersamaan dan sumbangan berterusan kepada alma mater dan menghargai sumbangan mereka dalam menyokong kemajuan universiti serta pendidikan negara.