TANJUNG MALIM, 10 Oktober 2026 – Dewan SITC di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjadi lokasi perhimpunan kira-kira 250 orang alumni daripada pelbagai era pengajian sempena Majlis Makan Malam Alumni Back to Campus. Program ini mempertemukan kembali para alumni dalam suasana penuh kemesraan dan kemeriahan, sekali gus menjadi wadah untuk mengeratkan silaturahim, mengimbau kenangan semasa pengajian serta memperkukuh hubungan dengan universiti yang pernah menjadi tempat mereka menimba ilmu.

Majlis yang bermula pada pukul 8.30 malam dengan ketibaan dan pendaftaran alumni berlangsung dalam suasana meriah apabila para hadirin mengambil kesempatan untuk bertemu semula, bertanya khabar dan berkongsi cerita selepas sekian lama meneruskan kehidupan dan kerjaya masing-masing. Penyertaan alumni daripada pelbagai generasi menyerlahkan semangat kebersamaan, khususnya apabila warga alumni kembali berhimpun di kampus yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan pendidikan dan kehidupan mereka.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Naib Canselor UPSI, Profesor Dato’ Dr. Md Amin bin Md Taff, serta Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Profesor Dr. Norkhalid bin Salimin, bersama Pengarah Pusat Alumni UPSI, Dr. Omar Firdaus. Kehadiran barisan kepimpinan universiti mencermitkan komitmen UPSI dalam memperkukuh hubungan dengan alumni.

Dalam ucapannya, Naib Canselor UPSI menyampaikan penghargaan kepada para alumni yang sudi kembali ke kampus dan bersama-sama memeriahkan majlis. Ucapan beliau turut menceriakan suasana di dalam dewan, sekali gus mewujudkan kemesraan antara pihak universiti dengan alumni yang hadir. Beliau turut membentangkan inisiatif baharu Pusat Alumni, iaitu Bas Alumni, sebagai satu usaha untuk memperluas jaringan hubungan serta meningkatkan penglibatan alumni melalui pendekatan yang lebih dekat dengan komuniti alumni. Inisiatif ini berpotensi menjadi medium untuk menghubungkan universiti dengan alumni di pelbagai lokasi, di samping membuka ruang kepada pelaksanaan aktiviti, program jaringan dan kunjungan yang dapat memperkukuh hubungan bersama UPSI.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Profesor Dr. Norkhalid bin Salimin, turut menyampaikan aspirasi beliau agar hubungan antara universiti dengan alumni terus diperkasakan melalui penglibatan yang aktif dan berterusan. Beliau menekankan kepentingan alumni sebagai sebahagian daripada keluarga besar UPSI yang berpotensi menyumbang pengalaman, kepakaran dan sokongan dalam menyokong perkembangan universiti. Jaringan yang kukuh antara alumni dan universiti diharapkan dapat terus membuka peluang kerjasama serta memberi manfaat kepada generasi akan datang.

Pengarah Pusat Alumni UPSI, Dr. Omar Firdaus pula menyatakan komimen Pusat Alumni untuk memperkukuh jaringan alumni. Usaha menghimpunkan alumni daripada pelbagai era diharapkan dapat membuka lebih banyak ruang untuk mengeratkan silaturahim, memperluas jaringan kerjasama serta menggalakkan alumni terus menyumbang kepada universiti. Aspirasi ini selari dengan usaha Pusat Alumni untuk memastikan hubungan yang terjalin tidak terhenti selepas tamat pengajian, sebaliknya terus berkembang sebagai sebahagian daripada keluarga besar UPSI.

Antara pengisian yang menjadi tumpuan ialah penganugerahan Ikon Anak Kandung Suluh Budiman sebagai penghargaan terhadap alumni yang menjadi inspirasi melalui sumbangan dan pencapaian masing-masing. Majlis turut mencatatkan kehadiran Cikgu Idris, yang merupakan alumni tertua yang hadir pada malam tersebut. Kehadiran beliau menjadi antara detik bermakna dalam pertemuan itu, sekali gus memperlihatkan bahawa hubungan dengan UPSI terus terpelihara merentasi generasi dan perjalanan masa.

Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan nyanyian dan tarian yang menghiburkan para hadirin sepanjang majlis berlangsung. Suasana dewan semakin ceria apabila alumni daripada pelbagai era berinteraksi dan berkongsi kenangan, menjadikan pertemuan tersebut bukan sekadar majlis makan malam, malah satu ruang untuk menghidupkan kembali semangat persahabatan dan kebersamaan yang pernah terbina ketika zaman pengajian.

Sambutan yang amat menggalakkan daripada para alumni turut memperlihatkan penerimaan positif terhadap penganjuran Alumni Back to Campus. Kehadiran yang ramai, suasana mesra serta pelbagai pengisian menarik menjadikan majlis ini satu pengalaman yang bermakna buat para hadirin. Maklum balas positif yang diterima turut mencerminkan penghargaan alumni terhadap usaha universiti menyediakan ruang untuk mereka kembali ke kampus dan mengeratkan hubungan sesama rakan seperjuangan.

Secara keseluruhannya, Majlis Makan Malam Alumni Back to Campus bukan sahaja menjadi medan pertemuan semula alumni, malah memperkukuh hubungan antara UPSI dengan warganya yang telah membawa nama universiti dalam pelbagai bidang. Diharapkan penganjuran program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai wadah untuk memelihara silaturahim, memperluas jaringan kerjasama dan menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan keluarga besar UPSI.