Sebahagian lebih 100 orang pelajar yang menghadiri Program Art Talk bergambar bersama Dr Jalaini Abu Hassan dan Dekan FSKIK Profesor Dr Mohd Fauzi Sedon @ M. Dom.

Oleh: Dr Elis Syuhaila Mokhtar

Tanjong Malim – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Persatuan Seni Visual UPSI (PERSENI), Fakulti Seni Kelestarian dan Industri Kreatif (FSKIK) baru-baru ini pada 16 Oktober 2026 menganjurkan Program Art Talk, pelukis kontemporari tanah air di Auditorium, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah.

Program bicara seni ini merupakan perkongsian ilmu daripada Felo Perunding Kanan FSKIK UPSI Dr Jalaini Abu Hassan yang berpengalaman luas dalam bidang seni, pernah menerima Anugerah Seni dan Kreativiti (Kelompok Seni Visual, Seni Bina Atau Kraf) sempena Anugerah Akademik Negara (AAN) ke-13 pada tahun 2019 

Program yang dihadiri lebih 100 peserta serta lebih 200 menerusi siaran langsung tiktok  selama hampir dua jam itu dianjurkan bagi pembangunan profesionalisme bakal guru seni khususnya para pelajar Ijazah Sarjana Muda AT23 fakulti berkenaan. 

Menurut Dekan FSKIK, Profesor Dr Mohd Fauzi Sedon @ M. Dom dalam suatu kenyataan berkata, perkongsian ini memberi manfaat menyeluruh kepada para peserta dalam memahami bidang seni visual seterusnya dapat dipraktikkan apabila para graduan berada di lapangan kelak. 

“Para graduan wajar mendalami ilmu pengajian seni dengan mendalam selain mahir dalam menghasilkan karya secara profesional sungguhpun bakal bergelar pendidik yang akan memacu pendidikan seni ke suatu tahap yang lebih baik,” jelasnya.

Menurut Mohd Fauzi lagi, selain mengukuhkan pengetahuan dalam bidang itu, program sebegini bukan saja membina pemikiran kritis para pelajar, sebaliknya memacu kecemerlangan akademik menerusi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) empat dan lapan iaitu Pendidikan Berkualiti dan Pertumbuhan Ekonomi.

Program siri pertama itu mengangkat tema “Konteks dan Visual Dalam Penghasilan Karya” memberi penekanan aspek pemahaman kepentingan menghasilkan karya dalam bentuk ilmiah menerusi penerapan maksud dalam setiap teknik lukisan, medium penggunaan bahan selain pemilihan warna mengikut gambaran artis.

“Setiap imej perlu ditafsirkan dengan memahami secara asas ia berfungsi, dan digubah seterusnya memberi makna kepada karya tersebut,

“Kita kena memahami dahulu visual konteks dalam seni rupa dengan cara melihat dengan mata yang aktif dan dengan pemandangan sifat ingin tahu,” jelasnya semasa menyampaikan perkongsian tersebut.

Konsep semiotik misalnya meneroka mekanisme bahasa visual dalam usaha untuk memahami bagaimana tanda, isyarat, atau petunjuk visual berfungsi.

“Komunikasi idea melalui objek material merupakan teras dalam disiplin seni serta arkeologi,”

“Justeru, disiplin ini menghasilkan beberapa gagasan utama mengenai makna dan tafsiran sesuatu objek, yang boleh merentasi peredaran zaman menerusi budaya era bersejarah, klasik, moden, sehinggalah kontemporari,” jelasnya.

Menerusi pembentangannya, Jalaini menggariskan beberapa dalam pemahaman premis cabang konteks iaitu konteks sejarah, artis, budaya dan sosial, penayangan dan penerimaan khalayak dan secara formal.

Sejarah misalnya, merujuk kepada tempoh masa, peristiwa, era, dan aliran tertentu mempengaruhi proses semasa karya seni itu dihasilkan. 

“Lazimnya riwayat hidup, latar belakang budaya, nilai keluarga, geografi, jantina, serta pandangan dunia turut mempengaruhi artis tersebut menghasilkan sesebuah karya manakala pengaruh budaya dan sosial pula merangkumi norma masyarakat, aspek politik, agama, dan warisan komuniti yang membentuk karya tersebut,” tambahnya lagi.

Poster hebahan Program Art Talk “Rupa bertemu Makna – Konteks dan Visual” oleh pelukis dan penggiat seni tanah air, Dr Jalaini Abu Hassan anjuran PERSENI
Dr Jalaini Abu Hassan membicarakan tentang tajuk Art Talk “Rupa bertemu Makna – Konteks dan Visual” bersama peserta yang hadir.
Ahli jawatan kuasa yang menjayakan Program Art Talk Rupa bertemu Makna – Konteks dan Visual” oleh pelukis dan penggiat seni tanah air, Dr Jalaini Abu Hassan anjuran PERSENI

Sungguhpun begitu menurutnya lagi, seseorang artis boleh dengan sengaja mengeluarkan sesuatu objek daripada persekitaran asalnya bagi mengubah maknanya secara keseluruhan.

Meneliti sesebuah karya seni atau objek tanpa mengetahui latar belakangnya mungkin hanya membawa kepada apresiasi estetik pada peringkat permukaan sahaja, sebaliknya, memahami niat dan latar belakangnya akan mendedahkan lapisan komunikasi atau pemahaman yang lebih mendalam terhadap hasil sesebuah karya.