Sesi menandatangani LOI antara Fakulti Sains dan Matematik dan Universitas Islam Indonesia (UII)Sesi menandatangani LOI antara Fakulti Sains dan Matematik dan Universitas Islam Indonesia (UII)

Oleh: ChM. Dr. Maizatul Najwa binti Jajuli & En. Ibrahim Saidin

TANJONG MALIM, 27 Oktober 2026 – Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa menerusi penganjuran Global Engagement Programme yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Wan Mohd Nuzul Hakimi W Salleh bersama Universitas Islam Indonesia (UII) yang berlangsung pada 25 hingga 27 Oktober 2026.

Program anjuran Jabatan Kimia, FSM ini bertujuan memperluas kerjasama akademik, penyelidikan dan perkongsian kepakaran, di samping menggalakkan interaksi serta pertukaran ilmu antara pensyarah dan pelajar kedua-dua institusi.

Antara pengisian utama program ialah majlis menandatangani Letter of Intent (LOI) pada 26 Oktober 2026 yang dihadiri oleh Prof. Dr. Mohd Faizal Nizam Lee bin Abdullah S.I.S, Dekan FSM UPSI dan Prof. Madya Dr. Noorshida Mohd Ali, Timbalan Dekan Penyelidikan & Inovasi FSM bersama delegasi UII dari Fakultas Matematik dan Ilmu Pengetahuan Alam (FMIPA), iaitu Prof. Madya Dr. Nurcahyo Iman Prakoso, Timbalan Dekan Kemahasiswaan, Keislaman dan Kealumnian, Prof. Madya Dr. Gani Purwiandono, Ketua Program Studi Kimia Program Sarjana serta Dr. Maisari Utami, pensyarah Program Studi Kimia Program Sarjana.

Penandatanganan LOI ini menjadi langkah penting dalam memperkukuh hubungan institusi serta membuka ruang kepada pelaksanaan kerjasama yang lebih luas. Sejurus selepas majlis tersebut, sesi perbincangan strategik telah diadakan antara pensyarah Jabatan Kimia FSM dan wakil UII.

Pada sebelah petang, program diteruskan dengan aktiviti knowledge transfer melalui amali Penyediaan lip balm, lotion tone-up dan minyak wangi  yang melibatkan pelajar UII bersama pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) Kimia semester satu. Aktiviti secara praktikal ini memberi peluang kepada para pelajar untuk berkongsi pengetahuan, mengaplikasikan konsep kimia dalam penghasilan produk serta membina hubungan dan kerjasama dalam suasana pembelajaran yang interaktif.

Pada 27 Oktober 2026, program diteruskan dengan sesi “Research Unplugged: Cross-Border Dialogue Session”, yang menghimpunkan ahli akademik daripada UII, Universitas Islam Negeri Sunan Kalijaga (UIN SUKA), Yogyakarta, dan UPSI.

Delegasi UII bersama pelajar-pelajar UII yang terdiri daripada pelajar ijazah sarjana muda dan pascasiswazah.
Aktiviti knowledge transfer melalui amali Penyediaan lip balm, lotion tone-up dan minyak wangi  
Sesi penutup Global Engagement Programme

Sesi ini menjadi platform perkongsian hasil penyelidikan, pertukaran idea dan perbincangan akademik merentas institusi serta negara. Antara ahli akademik yang terlibat ialah pensyarah dari UII, Prof. Madya Dr. Paed Asih Widi Wisudawati dari UIN Sunan Kalijaga serta Dr. Abubaker Mustafa Abdelal Elsayed dan Dr. Abubakar Siddiq Salihu dari UPSI.

Sesi dialog ini turut disertai oleh pelajar ijazah dan pasca dari Jabatan Kimia. Program diakhiri dengan majlis penyampaian sijil penghargaan kepada pensyarah dan pelajar UII sebagai tanda penghargaan atas penyertaan serta sumbangan mereka dalam menjayakan program tersebut.

Penganjuran Global Engagement Programme ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada hubungan kerjasama yang berterusan antara UPSI dan UII khususnya dalam memperkukuh penyelidikan kolaboratif, perkongsian ilmu, mobiliti pelajar serta pembangunan kapasiti akademik. Semoga jalinan kerjasama yang terjalin ini terus berkembang dengan cemerlang dan memberikan manfaat kepada semua institusi yang terlibat.