Oleh: Dr. Ijlal binti Mohd Diah, Dr. Nurihan binti Nasir, Dr. Noor Farizza Haniem binti Mohd Sohut, Ahmad Imran bin Ahmad Zailan
PARIT, 25 Oktober 2026 – Bertemakan pembelajaran Matematik yang interaktif, menyeronokkan dan bermakna, Program MATHSMART 2026 telah berjaya dianjurkan melalui kerjasama antara Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Parit, Persatuan Mahasiswa Matematik Universiti Pendidikan Sultan Idris (PMMU) dan Jabatan Matematik, Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Program ini melibatkan seramai 140 orang pelajar Tingkatan 3 aliran International General Certificate of Secondary Education (IGCSE).
Penganjurannya memberi penekanan terhadap pendekatan pembelajaran Matematik yang kreatif dan berpusatkan pelajar menerusi aktiviti permainan Matematik interaktif serta penyelesaian masalah.
Penganjuran program ini bertujuan mewujudkan pengalaman pembelajaran yang lebih menarik di samping menggalakkan penglibatan aktif pelajar dalam memahami dan mengaplikasikan konsep matematik.
Penganjuran program ini turut mencerminkan jalinan kerjasama strategik antara MRSM Parit, PMMU dan Jabatan Matematik, FSM, UPSI dalam usaha memperkaya pengalaman pembelajaran Matematik di peringkat sekolah.
Perkongsian ilmu serta penglibatan mahasiswa dan warga akademik UPSI dalam pelaksanaan aktiviti memberikan peluang kepada pelajar untuk meneroka konsep Matematik secara lebih praktikal, kontekstual dan interaktif.
Kerjasama ini juga memperlihatkan komitmen institusi pendidikan tinggi dalam menyokong usaha meningkatkan kualiti pendidikan Matematik, sekali gus mendekatkan mata pelajaran tersebut dengan kehidupan seharian pelajar dan membuktikan bahawa Matematik bukan sekadar subjek yang dipelajari di dalam bilik darjah.
Sepanjang program berlangsung, terdapat dua aktiviti yang telah dilaksanakan iaitu ‘Math Escape Room’ dan ‘Math Relay’.
Setiap aktiviti menampilkan cabaran tersendiri antaranya berfikir secara kritis, penyusunan strategi, kecekapan, kerjasama serta semangat kesukanan dalam kalangan peserta. Bimbingan fasilitator sepanjang aktiviti dijalankan pula membantu mewujudkan persekitaran pembelajaran yang positif serta menggalakkan interaksi dua hala antara fasilitator dengan pelajar.
Setelah semua aktiviti selesai dilaksanakan, program diteruskan dengan majlis penutupan dan penyampaian hadiah yang disempurnakan oleh Timbalan Pengetua Kecemerlangan Akademik MRSM Parit, Encik Mahamad Mahyudin bin Ajmain.
Dalam ucapannya, beliau menyuarakan harapan agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan dengan penglibatan yang lebih meluas dalam kalangan pelajar.



Beliau turut berharap agar penyertaan program tidak terhad kepada pelajar Tingkatan 3 sahaja, sebaliknya diperluas kepada pelajar daripada pelbagai tingkatan. Usaha ini diharapkan dapat menyemai minat yang berterusan terhadap Matematik serta menyediakan pengalaman pembelajaran yang lebih interaktif, menyeronokkan dan bermakna.
Secara keseluruhannya, penganjuran MATHSMART 2026 diharapkan dapat menjadi platform berkesan dalam memupuk minat dan meningkatkan motivasi pelajar terhadap Matematik melalui pendekatan pembelajaran yang lebih kreatif, interaktif dan menyeronokkan.
Inisiatif seumpama ini wajar diteruskan dan diperluas bagi menggalakkan penggunaan kaedah pembelajaran yang inovatif, meningkatkan penglibatan aktif pelajar serta memperkukuh jalinan kerjasama antara MRSM Parit dengan UPSI dalam usaha melahirkan pelajar yang holistik dan berdaya saing serta mampu mengaplikasikan pengetahuan Matematik dalam kehidupan seharian.
