oleh NUR AMIRAH BINTI ROHIM

Tanjong Malim, 1 November 2026 – Program Bengkel Pembangunan Profesional AMC Sesi 2026/2027 telah dianjurkan pada 1 November 2026 bertempat di Kompleks Akademik dengan melibatkan barisan pimpinan Kelab Al-Mursyidin (AMC) sesi 2025/2026 dan 2026/2027. Program ini bertujuan memberikan pendedahan serta meningkatkan kefahaman berkaitan bidang tugas Jabatan Setiausaha dan Jabatan Bendahari dalam pengurusan organisasi.

Program dimulakan sekitar jam 9.00 pagi dengan slot Jabatan Setiausaha yang disampaikan oleh Nur Amirah Rohim. Pengisian memberi penekanan kepada aspek pengurusan surat-menyurat dan penyediaan kertas kerja (paperwork) sebagai panduan dalam melaksanakan urusan pentadbiran organisasi dengan lebih sistematik.

Seterusnya, program diteruskan dengan majlis perasmian oleh penasihat Kelab Al-Mursyidin, Ustaz Mohd Ali bin Abdul Malek, yang turut menyampaikan ucapan serta taujihat kepada para pimpinan. Perkongsian tersebut turut menyentuh kepentingan pengurusan paperwork yang teratur dalam memastikan kelancaran gerak kerja organisasi.

Selepas sesi rehat, pengisian diteruskan dengan slot Jabatan Bendahari yang disampaikan oleh Wan Nur Hajar Hanani binti Wan Muhammad Kamaruhisham. Sesi ini memberikan pendedahan berkaitan pengurusan kewangan dan tanggungjawab bendahari dalam memastikan urusan kewangan organisasi dilaksanakan dengan baik.

Program turut diserikan dengan sesi perkongsian ilmu oleh Presiden AMC, diikuti tayangan video montaj sebelum program melabuhkan tirainya dengan sesi bersurai.

Secara keseluruhannya, Bengkel Pembangunan Profesional AMC 2026/2027 menjadi platform perkongsian ilmu dan pemindahan pengalaman antara barisan pimpinan sesi terdahulu dan baharu, khususnya dalam memperkukuh kemahiran pengurusan pentadbiran serta kewangan organisasi.