Oleh: Muhammad Faheem Mohd Dahlan, Abdullah Hasif Ismail & Muhammad Aizuddin Norizam
KUALA LUMPUR, 27 Oktober 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh hubungan strategik bersama agensi luar menerusi penganjuran Kursus Fahami Bacaan Dalam Solat (KFBDS) dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang berlangsung selama dua hari pada 26 hingga 27 Oktober 2026 bertempat di Dewan Besar, Aras 1, Menara PTPTN, Kuala Lumpur.
Penganjuran program ini merupakan manifestasi komitmen UPSI dalam memperluas jaringan kerjasama strategik bersama agensi luar, khususnya dalam usaha memanfaatkan kepakaran dan sumber universiti bagi menawarkan program pembangunan insan yang memberi nilai tambah kepada masyarakat serta organisasi.
Lebih daripada sekadar pelaksanaan program latihan, kerjasama UPSI bersama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ini turut memperlihatkan pendekatan strategik universiti dalam meneroka peluang penjanaan kewangan melalui perkongsian kepakaran, pemindahan ilmu dan pelaksanaan program berimpak tinggi.
Kursus Fahami Bacaan Dalam Solat (KFBDS) merupakan inisiatif pembangunan kerohanian yang memberi penekanan terhadap kefahaman, penghayatan dan kesempurnaan pelaksanaan ibadah solat. Pendekatan pembelajaran yang dilaksanakan bukan sahaja tertumpu kepada penguasaan bacaan, malah merangkumi pemahaman maksud serta penghayatan falsafah di sebalik setiap bacaan dalam solat.
Melalui pendekatan pembelajaran secara teori, amali dan perbincangan berkumpulan, peserta berpeluang mendalami makna bacaan dalam solat serta menghubungkaitkan penghayatan ibadah dengan pembentukan nilai integriti, disiplin diri dan kecemerlangan dalam kehidupan seharian.
Pelaksanaan KFBDS ini juga mencerminkan kesinambungan usaha UPSI dalam memperkukuh pembangunan modal insan secara holistik yang mengintegrasikan aspek kecemerlangan profesionalisme dengan pembentukan nilai spiritual dan kerohanian. Inisiatif ini turut selari dengan Aspirasi Naib Canselor UPSI 2026 yang memberikan penekanan terhadap pembentukan Jiwa Ketakwaan dalam kalangan warga universiti.



Pelaksanaan KFBDS UPSI–PTPTN turut menerima maklum balas positif daripada para peserta yang melihat program ini sebagai satu platform bermanfaat dalam meningkatkan kefahaman dan penghayatan terhadap ibadah solat.
Peserta menyatakan bahawa pendekatan pembelajaran yang diketengahkan menerusi kursus ini memberikan pengalaman baharu dalam memahami maksud setiap bacaan dalam solat.
“program ini sangat bermanfaat kerana bukan sekadar membantu kami menghafal bacaan dalam solat, malah memberikan kefahaman yang lebih mendalam berkaitan dengan maksud dan penghayatan setiap bacaan. Pendekatan penyampaian yang mudah difahami menjadikan ibadah solat lebih bermakna dan membantu kami meningkatkan kualiti penghayatan dalam kehidupan seharian” katanya.
Selain itu, peserta turut berpendapat bahawa penganjuran program seumpama ini wajar diteruskan kerana memberikan peluang kepada warga organisasi untuk meningkatkan pengetahuan agama dalam suasana pembelajaran yang terancang dan kondusif.
“penganjuran kursus ini merupakan satu inisiatif yang sangat baik kerana memberi ruang kepada kami untuk memperbaiki dan memperkukuh kefahaman berkaitan ibadah solat. Saya berharap program seperti ini dapat diteruskan dan diperluas kepada lebih ramai rakan PTPTN yang lain pada masa hadapan” ujarnya.
Maklum balas tersebut memperlihatkan bahawa KFBDS bukan sahaja memberikan nilai tambah dari aspek pembangunan kerohanian peserta, malah membuktikan kepentingan kerjasama strategik antara institusi pendidikan tinggi dengan agensi luar dalam menyediakan program pembangunan insan yang holistik dan berimpak.
PENJANAAN KEWANGAN MELALUI KEPAKARAN DAN KERJASAMA STRATEGIK
Antara pencapaian penting menerusi pelaksanaan program ini ialah keupayaan UPSI melalui Unit Program Komersial, Bahagian Sumber Manusia menjana pendapatan sebanyak RM19,882.00 hasil kerjasama strategik bersama PTPTN.
Pencapaian ini membuktikan bahawa kepakaran akademik, pengalaman tenaga pengajar serta kapasiti institusi yang dimiliki universiti berpotensi untuk diterjemahkan sebagai sumber penjanaan kewangan melalui penawaran program latihan dan pembangunan kompetensi kepada agensi luar.
Pendekatan ini juga memperlihatkan peranan universiti yang bukan sahaja berfungsi sebagai institusi pendidikan dan penyelidikan, malah berupaya menjadi pusat rujukan kepakaran serta penyedia perkhidmatan latihan yang kompetitif dan memenuhi keperluan organisasi luar.
Secara tidak langsung, penjanaan pendapatan melalui program seumpama ini dapat membantu memperkukuh keupayaan kewangan universiti, mempelbagaikan sumber pendapatan serta mengoptimumkan penggunaan kepakaran dan sumber sedia ada secara lebih strategik.
MEMPERKASA PERANAN UNIT PROGRAM KOMERSIAL SEBAGAI PENERAJU PEMBANGUNAN KOMPETENSI
Kejayaan pelaksanaan program ini turut memperlihatkan peranan Unit Program Komersial, Bahagian Sumber Manusia (BSM), UPSI sebagai peneraju dalam merancang, menyelaras dan melaksanakan program pembangunan kompetensi yang berorientasikan keperluan pelanggan serta agensi luar.
Pendekatan yang dilaksanakan melalui kerjasama strategik ini membuka ruang kepada Unit Program Komersial, BSM untuk memperluas jaringan kerjasama dengan pelbagai kementerian, jabatan, agensi kerajaan, badan berkanun dan organisasi swasta.
Selain memperkukuh kedudukan UPSI sebagai penyedia latihan yang berpotensi dan berdaya saing, usaha ini juga menyokong agenda universiti dalam memperluas aktiviti penjanaan pendapatan melalui penawaran program latihan yang berasaskan kepakaran dalaman universiti.
Kejayaan ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada pelaksanaan lebih banyak program kolaborasi bersama agensi luar pada masa hadapan, khususnya program yang mempunyai nilai komersial, impak pembangunan insan dan potensi penjanaan kewangan yang mampan di Bahagian Sumber Manusia (BSM).
MEMBINA SINERGI, MEMPERLUAS IMPAK
Secara keseluruhannya, penganjuran KFBDS UPSI–PTPTN membuktikan bahawa kerjasama strategik antara institusi pendidikan tinggi dengan agensi luar mampu menghasilkan manfaat bersama yang melangkaui pelaksanaan program latihan konvensional.
Kerjasama ini bukan sahaja memperkukuh hubungan antara kedua-dua institusi, malah membuktikan bahawa perkongsian kepakaran, sumber dan pengalaman dapat mewujudkan peluang baharu dalam pembangunan modal insan serta penjanaan kewangan universiti.
UPSI melalui Bahagian Sumber Manusia (BSM) akan terus komited memperluas jaringan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak melalui penawaran program latihan yang inovatif, relevan dan berimpak tinggi, selaras dengan aspirasi universiti untuk memperkukuh kecemerlangan institusi, kelestarian kewangan dan pembangunan insan yang holistik.

