Oleh : Irwan Hamdi Mohamad, Norzid Firusi Khairul Zahar, Abdullah Hasif Ismail

KUALA NERUS, 26 Julai 2026 – Jabatan Pendaftar, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengadakan Lawatan Penanda Aras ke Jabatan Pendaftar, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sebagai platform memperkukuh hubungan strategik antara kedua-dua institusi serta memperluaskan perkongsian ilmu, pengalaman dan amalan terbaik dalam pengurusan sumber manusia dan pentadbiran universiti.

Lawatan yang berlangsung sepanjang hari ini menghimpunkan barisan pengurusan serta warga Jabatan Pendaftar daripada kedua-dua universiti melalui pelbagai aktiviti berteraskan kolaborasi profesional, pembangunan organisasi dan pengukuhan hubungan silaturahim.

Program dimulakan pada sebelah pagi dengan Perlawanan Persahabatan UPSI-UniSZA yang melibatkan acara petanque, badminton dan bola jaring. Penganjuran aktiviti sukan ini bukan sahaja menyemarakkan semangat kesukanan, malah menjadi medium mengeratkan hubungan antara warga kedua-dua universiti melalui persaingan yang sihat dan penuh semangat setiakawan.

Pada sebelah petang, bertempat di Dewan Auditorium Al-Zahrawi, Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA) berlangsungnya Majlis Serah Terima Tugas Urusetia Jawatankuasa Sumber Manusia Universiti Awam (JKSMUA), iaitu agenda utama lawatan penanda aras ini. Majlis tersebut menandakan proses peralihan rasmi tanggungjawab urusetia JKSMUA kepada universiti yang baharu, sekali gus memastikan kesinambungan penyelarasan pelbagai agenda strategik berkaitan pengurusan sumber manusia di peringkat universiti awam.

“Majlis serah terima ini bukan sekadar simbolik pertukaran tanggungjawab, malah mencerminkan kepercayaan, profesionalisme dan komitmen universiti awam untuk terus memperkukuh tadbir urus sumber manusia secara kolektif. Melalui kerjasama erat antara institusi, kita mampu melaksanakan pelbagai inisiatif yang memberi impak kepada seluruh ekosistem pendidikan tinggi negara.”

Urusetia UPSI diwakili oleh Yang Berusaha Puan Mahanum binti Muhammad, Ketua Timbalan Pendaftar, Bahagian Sumber Manusia UPSI, manakala urusetia UniSZA diwakili oleh Cik Nurhana binti Ghazali, Ketua Penolong Pendaftar, Pejabat Pendaftar UniSZA yang telah disaksikan oleh Encik Muzafar bin Mohd Din, Pendaftar UniSZA, dan Encik Helmi Zaifura bin Abdul Rahman, Pendaftar UPSI

Majlis berkenaan turut mencerminkan komitmen universiti awam dalam memperkukuh tadbir urus, memperkasakan kerjasama antara institusi serta memastikan setiap inisiatif pembangunan sumber manusia dapat dilaksanakan secara tersusun, berkesan dan berimpak tinggi. Peralihan tanggungjawab ini diharap dapat meneruskan kecemerlangan JKSMUA sebagai platform utama dalam membincangkan dasar, inisiatif dan penambahbaikan pengurusan sumber manusia sektor pendidikan tinggi negara.

Sejurus selepas majlis tersebut, satu sesi Perkongsian bersama Jabatan Pendaftar UniSZA. Sesi ini memberi peluang kepada kedua-dua pihak berkongsi pengalaman, inisiatif serta amalan terbaik dalam pelbagai aspek pengurusan termasuk pembangunan modal insan, transformasi digital, pengurusan bakat, kebajikan staf dan penambahbaikan penyampaian perkhidmatan.

Delegasi seterusnya mengadakan lawatan ke Hospital UniSZA (HoSZA) bagi meninjau kemudahan serta berkongsi pengalaman berkaitan pengurusan hospital universiti. Lawatan ini memberi pendedahan kepada peserta mengenai fungsi, perkhidmatan dan pengoperasian hospital sebagai institusi yang menyokong pendidikan, penyelidikan dan penyampaian perkhidmatan kesihatan. Selain itu, sesi tersebut turut membuka ruang perbincangan mengenai aspek tadbir urus, pengurusan sumber manusia dan pembangunan organisasi dalam persekitaran hospital universiti.

Sebagai penutup kepada program pada hari tersebut, telah berlangsungnya Perlawanan Persahabatan Bola Sepak UPSI-UniSZA. Perlawanan ini menjadi simbol semangat perpaduan, kerjasama dan persahabatan yang terjalin antara kedua-dua universiti. Walaupun berlangsung dalam suasana kompetitif, nilai hormat-menghormati, semangat berpasukan dan ukhuwah jelas terserlah sepanjang perlawanan.

Secara keseluruhannya, Lawatan Penanda Aras Jabatan Pendaftar UPSI ke Jabatan Pendaftar UniSZA telah mencapai objektifnya dalam memperkukuh jaringan kerjasama strategik, memperluaskan perkongsian ilmu dan meningkatkan hubungan profesional antara kedua-dua institusi. Melalui pelbagai pengisian yang merangkumi aspek tadbir urus, pembangunan organisasi, perkongsian amalan terbaik dan aktiviti pengukuhan silaturahim, program ini diharap menjadi pemangkin kepada lebih banyak kolaborasi pada masa hadapan.

Jabatan Pendaftar UPSI komited untuk terus menjalinkan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi awam bagi memperkasa kecemerlangan pengurusan sumber manusia, mempertingkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan serta menyokong aspirasi pendidikan tinggi negara ke arah tadbir urus yang lebih progresif, inovatif dan mampan.