Tanjong Malim, 30 September 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memperkukuh persediaan membentuk barisan pelapis kepimpinan universiti menerusi Sesi Jerayawara Pelan Penggantian Takungan Bakat UPSI yang disertai oleh seramai 150 kakitangan akademik dan pentadbiran.
Inisiatif itu menjadi platform untuk memberi kefahaman kepada warga universiti mengenai peranan mereka dalam Pelan Penggantian UPSI, selain membantu mengenal pasti dan membangunkan bakat yang berpotensi untuk memikul tanggungjawab kepimpinan pada masa hadapan.
Pendaftar UPSI, Encik Helmi Zaifura Abdul Rahman, hadir menyampaikan penerangan mengenai hala tuju dan pelaksanaan Pelan Penggantian UPSI, manakala Timbalan Pendaftar Kanan, Puan Anis Azlira Ali, memberikan penjelasan lanjut mengenai pembangunan ahli Takungan Bakat.
Melalui sesi itu, peserta didedahkan kepada konsep Pelan Penggantian, peranan ahli Takungan Bakat serta bentuk pembangunan yang dirancang untuk meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kompetensi mereka.
Peserta turut diberi peluang berinteraksi dan mengemukakan soalan secara langsung. Sesi berkenaan membantu mereka memahami dengan lebih jelas kedudukan, peranan dan tanggungjawab sebagai sebahagian daripada Takungan Bakat UPSI.
“Pelan Penggantian bukan sekadar mengenal pasti siapa yang berpotensi untuk memimpin, tetapi turut memastikan bakat yang dikenal pasti diberikan ruang dan peluang untuk terus berkembang”
Pendekatan itu penting bagi memastikan UPSI sentiasa mempunyai kumpulan bakat yang bersedia mengambil tanggungjawab lebih besar apabila diperlukan, sekali gus menyokong kesinambungan kepimpinan universiti.
Pelaksanaan inisiatif ini turut menyokong aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035, khususnya Lonjakan Strategik 2: Bakat Berprestasi Tinggi Dipacu Matlamat, yang memberi penekanan kepada pembangunan bakat berkualiti tinggi bagi memperkukuh kecemerlangan institusi pendidikan tinggi.
Menerusi jerayawara ini, UPSI mahu warga yang dikenal pasti dalam Takungan Bakat melihat pembangunan kepimpinan sebagai satu proses yang perlu dibina secara berterusan, bukan hanya apabila mereka diberikan sesuatu jawatan.
Usaha berkenaan menjadi sebahagian daripada komitmen UPSI untuk membina warga yang bersedia memimpin, mempunyai kompetensi yang diperlukan dan mampu meneruskan kecemerlangan universiti pada masa hadapan.
