Oleh: Mohd Faiz Zabri

SERI ISKANDAR, 25 Okt – Pasukan Ragbi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melakar kejayaan membanggakan apabila dinobatkan sebagai Juara Cup Kategori Bawah 20 Tahun (U20), sekali gus merangkul pingat emas pada Kejohanan SUPER UTP10S Championship 2026 yang berlangsung pada 24 hingga 25 Oktober di Padang Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), Seri Iskandar, Perak.

Kejayaan tersebut membuktikan keupayaan skuad ragbi UPSI bersaing secara kompetitif, selain menyerlahkan potensi atlet muda universiti dalam arena sukan ragbi.

Di bawah bimbingan Ketua Jurulatih, Mohd Syazwan bin Hashim, pasukan ragbi UPSI mempamerkan semangat juang tinggi, disiplin serta kesepaduan pasukan yang menjadi antara faktor penting dalam kejayaan merangkul kejuaraan kategori berkenaan.

Komitmen barisan kejurulatihan dalam merangka persiapan, memperkukuh aspek teknikal dan taktikal serta membentuk ketahanan mental pemain turut menyumbang kepada prestasi pasukan sepanjang kejohanan.

Kejayaan merangkul gelaran Juara Cup U20 itu bukan sahaja menjadi pencapaian bermakna buat pasukan, malah mencerminkan keberkesanan usaha pembangunan atlet muda melalui latihan berstruktur dan penyertaan dalam kejohanan kompetitif.

Selain menguji kemampuan fizikal dan kemahiran permainan, kejohanan tersebut turut memberi pendedahan berharga kepada atlet mahasiswa dalam meningkatkan keyakinan diri, kepimpinan, ketahanan mental serta keupayaan membuat keputusan dalam situasi pertandingan sebenar.

Penyertaan dalam kejohanan berkenaan juga menjadi platform penting untuk pemain menimba pengalaman, memperkukuh kerjasama berpasukan dan meningkatkan tahap daya saing sebagai persediaan menghadapi kejohanan yang lebih mencabar pada masa hadapan.

Pencapaian tersebut sekali gus mengukuhkan komitmen UPSI dalam memperkasakan pembangunan sukan berprestasi tinggi serta melahirkan atlet mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah berupaya mencipta kejayaan dalam bidang sukan.

Kejayaan ini diharapkan menjadi pemangkin kepada Pasukan Ragbi UPSI untuk terus meningkatkan prestasi, memperkukuh pembangunan bakat baharu dan memburu lebih banyak kejuaraan pada masa akan datang.