Oleh: Prof Madya Dr. Shazlyn Milleana Shaharudin, Dr. Sumayyah Aimi Mohd Najib, Dr. Anis Diyana Halim & Dr. Adibah Abu Bakar
KUALA KUBU BHARU – Bagi memupuk minat serta pemahaman mendalam terhadap subjek Sains dan Matematik, program MP Teras telah dilaksanakan dengan pengisian dua bengkel utama yang berfokuskan subjek Sains dan Matematik. Sebanyak 213 orang murid Tahun 1 hingga 6 telah terlibat secara aktif dalam program ini yang berlangsung pada 22 Oktober 2026 yang lepas.
Antara tarikan utama yang paling dinanti-nantikan sepanjang program ini adalah penganjuran bengkel Matematik yang membawakan jemputan khas, iaitu Congak Math yang diwakili oleh CheMan. Pengisian unik ini terbukti berjaya memikat hati para peserta apabila ia mengetengahkan teknik pengiraan pantas yang merangsang minda, sekali gus mengubah persepsi sukar terhadap subjek Matematik menjadi sesuatu yang menyeronokkan. Di samping itu, bengkel Sains turut diadakan bagi mendedahkan murid kepada teknik pembelajaran berkesan melalui pendekatan eksperimen visual dan praktikal yang membangkitkan rasa ingin tahu yang tinggi dalam kalangan mereka.



Pelaksanaan program ini memainkan peranan penting dalam melonjakkan keyakinan serta memantapkan penguasaan kemahiran asas murid dalam mata pelajaran teras. Secara keseluruhannya, pendekatan pembelajaran luar bilik darjah yang diterapkan terbukti berkesan dan kreatif, kerana program ini bukan sahaja menyampaikan ilmu secara teori semata-mata, malah merangsang keaktifan fizikal dan mental murid melalui aktiviti interaktif yang mencabar minda dan menyeronokkan.
