Mahasiswa Pendidikan Khas bersama pensyarah dan penyelia PPDK Sungai Buloh semasa sesi lawatan di bilik jahitan.

oleh Azmie Jemat

SUNGAI BULOH– Seramai 17 mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyertai Program SERASI: Semarak Rekreasi dan Interaksi Sosial dalam Komuniti di Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Sungai Buloh, Selangor, bagi memperkukuh hubungan serta meningkatkan kesedaran terhadap keperluan dan potensi komuniti orang kurang upaya (OKU).

Program anjuran mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Khas UPSI itu dilaksanakan menerusi kursus KBK 3113 Ko-Kurikulum, Rekreasi dan Sokongan Komuniti dalam Pendidikan Khas dengan kerjasama PPDK Sungai Buloh pada 11 November lepas.

Pensyarah Jabatan Pendidikan Khas UPSI Dr Hasrul Hosshan berkata semangat kesukarelawanan perlu dipupuk dalam kalangan mahasiswa bagi menyokong kesejahteraan komuniti OKU serta membantu mereka menjalani kehidupan seharian.

Beliau berkata masyarakat juga perlu melihat keupayaan seseorang individu, bukannya kekurangan yang dimiliki, selain memberikan sokongan, penghargaan dan dorongan supaya golongan itu berasa diterima serta dihargai.

Menurutnya, program berkenaan menjadi platform kepada mahasiswa untuk mengaplikasikan pengetahuan dalam bidang Pendidikan Khas melalui interaksi secara langsung bersama warga PPDK, di samping memupuk nilai empati, keprihatinan dan tanggungjawab sosial.

Antara aktiviti yang dijalankan ialah Serasi Fit menerusi senamrobik, Serasi Pin yang mengetengahkan permainan boling serta Serasi PDK (Selami) bagi memberi peluang kepada mahasiswa mengenali kehidupan, pengalaman dan keupayaan warga PPDK dengan lebih dekat.

Antara produk hasil kerja peserta PPDK Sungai Buloh yang dibeli oleh mahasiswa Pendidikan Khas semasa Aktiviti Selami PPDK Sungai Buloh sebagai tanda sokongan terhadap hasil kreativiti dan usaha peserta dalam menghasilkan produk makanan dan kraf tangan.
Peserta Program SERASI: Semarak Rekreasi Dan Interaksi Sosial Dalam Komuniti bersama mahasiswa Pendidikan Khas.
Sesi perkongsian maklumat dan pengalaman berkaitan pengurusan serta pelaksanaan aktiviti PPDK bersama mahasiswa Pendidikan Khas.

Program turut menampilkan aktiviti Serasi KitBite yang melibatkan penyediaan pencuci mulut secara berkumpulan bagi merangsang kreativiti, mengasah kemahiran dan menggalakkan kerjasama antara peserta.

Pengisian program diteruskan dengan sesi perkongsian oleh Penyelia PPDK Sungai Buloh, Saputra Arshad, yang dikenali sebagai Bonda, berkaitan pengalaman serta pengurusan aktiviti di pusat berkenaan.

Dr Hasrul berkata pengalaman berinteraksi secara langsung dengan komuniti OKU dapat membantu mahasiswa memahami kepelbagaian keupayaan individu serta membentuk bakal pendidik yang lebih prihatin dan bertanggungjawab terhadap masyarakat.

Program diakhiri dengan ucapan penutup dan penyampaian cenderahati kepada petugas serta peserta sebagai tanda penghargaan atas kerjasama menjayakan aktiviti berkenaan.